KUALA LUMPUR : Penyanyi yang juga peserta Big Stage Rocketfuel, Yad-Z tampil membuat permohonan maaf susulan kenyataannya sebelum ini yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Menurut Yad-Z, kenyataan yang dibuat bukan bertujuan untuk menunjukkan sikap sombong, angkuh atau merasakan dirinya lebih hebat berbanding orang lain.
“Saya ingin memohon maaf atas apa yang berlaku semalam. Jika apa yang saya katakan telah menyinggung perasaan atau disalahertikan oleh mana-mana pihak, saya benar-benar memohon maaf.
“Sebenarnya bukan niat saya untuk berlagak, ego atau merasakan diri lebih hebat daripada orang lain. Apa yang saya maksudkan hanyalah saya percaya kepada bakat yang dikurniakan Allah dan yakin dengan kemampuan diri sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Yad-Z turut menafikan dakwaan wujud perselisihan faham antara dirinya dengan seorang lagi peserta, Hussain.
Menurutnya, hubungan mereka berada dalam keadaan baik dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya dan Hussain tidak mempunyai sebarang masalah. Kami okey dan sentiasa menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.
Mengakhiri kenyataan, Yad-Z merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan teguran serta pandangan terhadap isu berkenaan.
Katanya, segala komen yang diterima akan dijadikan sebagai pengajaran untuk terus memperbaiki diri pada masa akan datang.
“Terima kasih atas semua komen, teguran dan pandangan yang diberikan. Saya menerimanya dengan hati terbuka dan akan menjadikannya sebagai pengajaran untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Terima kasih juga kepada semua yang sentiasa menyokong saya. Insya-Allah saya akan melakukan yang lebih baik selepas ini,” katanya.










