KUALA LUMPUR: Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang sepatutnya berlangsung pada 11 Julai depan di Stadium Hoki Bukit Jalil telah dijadualkan pada tarikh baharu iaitu pada 19 September 2026.
Pihak penganjur, Dhyah Production bersama Infinity Love Creative Ventures memaklumkan keputusan itu dibuat ekoran lambakan konsert berskala besar lain dan bertembung dengan situasi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, langkah penjadualan semula itu diambil demi memastikan keselesaan penonton serta kelancaran sambutan ulang tahun ke-25 perjalanan muzik kumpulan rock popular Indonesia berkenaan.
“Setelah meneliti pelbagai aspek, kami percaya tarikh baharu ini memberi ruang yang lebih baik kepada peminat untuk hadir dan menikmati persembahan istimewa daripada Radja.
“Kami amat menghargai kesabaran, kefahaman dan sokongan berterusan daripada semua peminat. Komitmen kami adalah untuk memastikan Revolusi Radja 25 Tahun hadir sebagai sebuah pengalaman konsert yang penuh tenaga, nostalgia dan meninggalkan kenangan yang bermakna,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mubarak berkata, keputusan tersebut juga dibuat bagi mengelakkan penonton berdepan masalah kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapatkan parkir ekoran pertindihan acara hiburan lain pada tarikh asal.
“Keputusan ini merupakan langkah terbaik bagi memastikan sambutan ulang tahun ke-25 perjalanan muzik Radja dapat diraikan dalam suasana yang lebih kondusif.
“Penjadualan semula ini dibuat selepas mengambil kira situasi semasa yang berlaku. Antaranya termasuk pertindihan beberapa acara hiburan berskala besar dan bagi memastikan perjalanan konsert berlangsung dengan lebih teratur tanpa menjejaskan keselesaan penonton dari segi pergerakan, lalu lintas dan kemudahan parkir,” katanya.
Dalam perkembangan lain, bagi menghargai kesetiaan peminat yang menantikan kemunculan kumpulan penyanyi lagu Jujur itu, penganjur mengesahkan akan ada penampilan artis jemputan khas bagi memeriahkan lagi acara tersebut.
Sementara itu, konsert bersempena meraikan lebih dua dekad penglibatan Radja dalam industri muzik itu bakal menyaksikan himpunan lagu-lagu popular yang dekat di hati peminat di Malaysia dan Indonesia.










