Lelaki dipenjara 10 tahun cuba bunuh bekas PM Jepun

Lelaki dipenjara 10 tahun cuba bunuh bekas PM Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas cubaan membunuh bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, menggunakan bom paip pada 2023, lapor media tempatan.

Dalam kejadian yang berlaku dalam satu acara kempen politik, Ryuji Kimura, 25, ditangkap di tempat kejadian selepas melemparkan bom buatan sendiri ke arah Kishida.

Bagaimanapun, Kishida tidak mengalami sebarang kecederaan.

Insiden itu berlaku di wilayah barat Jepun, kurang setahun selepas bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe, ditembak mati ketika berkempen pada Julai 2022.

Mahkamah Daerah Wakayama menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Kimura atas tuduhan cubaan membunuh, lapor media seperti Jiji Press dan penyiar awam NHK.

Menurut akhbar Asahi Shimbun, hakim berkata, tindakan Kimura dilakukan di lokasi ucapan pilihan raya, yang merupakan asas kepada sistem demokrasi.

Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman penjara 15 tahun, namun pihak pembelaan meminta hukuman lebih ringan, iaitu tiga tahun sahaja, dengan alasan Kimura tidak berniat untuk membunuh Kishida, lapor Jiji Press.

Pemeriksaan polis ke atas kediaman suspek selepas serangan menemui serbuk bahan letupan, objek berbentuk paip serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan bom tersebut.

Sepanjang perbicaraan, peguam Kimura mendakwa tindakan anak guamnya hanya bertujuan menarik perhatian orang ramai dan bukan untuk membunuh oleh itu, katanya, tuduhan sepatutnya dikategorikan sebagai kes menyebabkan kecederaan, bukan cubaan membunuh, lapor NHK.

Namun, pendakwa raya menyifatkan serangan itu sebagai ‘tindakan keganasan yang berniat jahat’ dan menegaskan suspek tahu bahan letupan yang digunakannya boleh membawa maut.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN