Kumpulan muzik Perlis ‘gegar’ UK

Kumpulan muzik Perlis ‘gegar’ UK

KUMPULAN muzik dari Perlis, Black Fire yang membuat kemunculan semula dan bakal menjadi kumpulan muzik pertama dari Perlis mengadakan persembahan di lima bandar sekitar United Kingdom (UK), pada April depan. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selepas 20 tahun, kumpulan muzik underground terkenal Black Fire membuat kemunculan semula dan bakal mengadakan persembahan melalui siri jelajah di United Kingdom (UK) pada April depan.

Kumpulan yang pernah mencipta nama dalam genre metal sekitar era 80-an itu juga menjadi kumpulan muzik pertama dari negeri ini yang bakal mengadakan persembahan di UK.

Konsert The Enourmous Wrath UK Tour 2025 itu dijadual berlangsung di lima bandar di UK iaitu Liverpool pada 8 April, Manchester (9 April), Sheffield (10 April), Birmingham (11 April) dan London pada 12 April.

Kumpulan itu dianggotai oleh Subri Bahari selaku ketua kumpulan bermain gitar utama; Eekram Ibrahim (vokalis); Mohd. Ezrin Abd. Ghani (gitar); Mohd. Abdul Hakim (bass) dan Mohamad Asri Othman (drum)

Subri, 62, berkata, jemputan mengadakan jelajah di lima bandar sekitar UK itu merupakan pencapaian luar biasa buat mereka yang membuat kemunculan semula menerusi album The Enourmous Wrath pada 2023.

“Kami akan mempersembahkan semua lapan lagu di dalam album ini di sepanjang siri jelajah itu. Kami akan melakukan yang terbaik dengan membawa nama Malaysia dan Perlis di pentas antarabangsa,” katanya ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Kata guru muzik itu, kumpulan tersebut ditubuhkan sekitar tahun 1982 bagi membawa genre metal iaitu yang berbeza berbanding kebiasaan pada zaman tersebut.

Katanya, mereka juga pernah dijemput mengadakan konsert besar antaranya di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1986 dan kemudian menerbitkan album sulung iaitu ‘Lahir Dari Api’ pada 2006. 

“Setelah muncul semula dengan album kedua pada 2023, kami berusaha memastikan genre ini dapat diterima oleh penggemar muzik malah pihak pengurusan iaitu Black Label Production juga cuba membawa kumpulan ini untuk membuat persembahan di luar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN