Jumlah murid mendaftar tahun satu meningkat

Jumlah murid mendaftar tahun satu meningkat

WONG Kah Woh menyantuni murid pada hari pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack, Ipoh, Perak, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 461,198 murid tahun satu mendaftar di seluruh negara bagi sesi persekolahan 2025/2026.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 14,116 orang berbanding 447,082 orang pada sesi persekolahan lalu.

Katanya, seramai 460,494 pelajar tingkatan satu pula menjadi sebahagian daripada 2,161,435 pelajar yang memulakan sesi akademik tahun ini.

“Sesi persekolahan 2025/2026 bagi Kumpulan A telah bermula semalam melibatkan beberapa negeri dan hari ini bagi Kumpulan B dengan jumlah keseluruhan seramai 5.14 juta orang.

“Bagi tahun ini, terdapat peningkatan murid yang mendaftar tahun satu berbanding tahun lalu seramai 461,198 orang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack, di sini semalam.

Sementara itu mengulas mengenai cuaca panas ketika ini, beliau berkata, ibu bapa digalakkan membekalkan air minuman mencukupi untuk keperluan anak-anak mereka.

Katanya, pihak sekolah juga akan memastikan bekalan air minuman mencukupi untuk murid-murid.

“Seperti tahun-tahun lepas, Kementerian Pendidikan telah mengambil beberapa langkah keselamatan bagi keselesaan murid semasa cuaca panas. 

“Terdapat garis panduan untuk diikuti pihak pengurusan dan pentadbir sekolah dalam menghadapi cuaca panas di mana tindakan sewajarnya boleh diambil mengikut keadaan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan sentiasa merujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung cuaca panas.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 329,344 pelajar di Perak memulakan sesi persekolahan di 1,105 sekolah hari ini-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN