TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diyakini akan membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan diadakan tahun ini mengambil kira pencapaian dan perubahan selama lebih empat tahun memerintah.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor justeru mahukan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Merotai diwakili oleh ADUN kerajaan agar usaha membawa pembangunan di kawasan itu berjalan lancar.
“Percayalah dalam PRN akan datang kerajaan GRS akan membentuk kerajaan sekali lagi. Jadi saya tidak mahu Merotai ketinggalan kali ini, Merotai mesti diwakili wakil kerajaan. Kita mesti menang di sini, majukan Merotai. Kita bukan bercakap kosong, kita ada hala tuju,” katanya pada sambutan Tahun Baharu Cina bersama Anak Merotai anjuran Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menyasarkan untuk menawan semua kerusi DUN di Parlimen Tawau dan Kalabakan menjelang PRN17.
Kata beliau, rakyat di kedua-dua Parlimen itu perlu menyokong GRS bagi memastikan tiada kawasan DUN yang tercicir daripada pembelaan wakil rakyatnya.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sementara itu memberi jaminan isu bekalan air di kawasan Merotai akan dapat diselesaikan pada tahun ini setelah semua kerja penambahbaikan dilaksanakan.
“Isu air saya bagi jaminan kita dapat selesaikan pada tahun ini. Kita ada peruntukan, loji air kita akan dinaik taraf dan dibaiki.
“Begitu juga masalah paip bocor, kita akan baiki, jadi masalah air ini kita akan selesai pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN