Geng Farid aktif curi motosikal tumpas

Geng Farid aktif curi motosikal tumpas

Tembak maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Geng Farid yang aktif melakukan jenayah mencuri motosikal jenis Yamaha 135 LC sejak Oktober tahun lalu tumpas dengan tertangkapnya empat ahli dalam Op Lejang Khas, pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, empat lelaki berusia 33 hingga 37 tahun itu diburu polis susulan laporan seorang pemuda berumur 19 tahun pada 21 Oktober tahun lalu mendakwa rumahnya di Jalan Mahmoodiah dipecah masuk dan motosikalnya dicuri.

“Bertindak atas maklumat, pada Jumaat lalu antara 9.30 hingga 11.30 pagi, pihak polis melakukan dua serbuan di tiga lokasi berasingan di Kampung Melayu Majidee, Bandar Seri Alam dan Bandar Permas Jaya.

“Dalam serbuan pertama, polis menahan tiga lelaki berumur 33 hingga 37 tahun termasuk ketuanya dikenali sebagai Farid dan menyita tiga motosikal Yamaha 135 LC yang berada dalam keadaan tidak sempurna tanpa nombor pendaftaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Raub berkata, dalam serbuan kedua, seorang lagi suspek berumur 36 tahun ditahan di Jalan Ubi Pulut, di sini dan pihaknya merampas sebuah lagi Yamaha 135 LC dengan nombor pendaftaran palsu serta kunci motosikal.

Katanya, penangkapan empat lelaki terbabit  berjaya menyelesaikan empat kes kecurian motosikal di sekitar Johor Bahru dan Masai.

“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ini adalah menyimpan dan meleraikan motosikal curi untuk dijual secara berasingan atau digunakan sebagai alat ganti. 

“Komponen ini tidak dijual secara terbuka, sebaliknya mereka mempunyai pelanggan tetap yang memerlukan bahagian motosikal yang dileraikan itu,” katanya sambil memberitahu tiga daripada empat suspek mempunyai sebanyak 26 rekod jenayah lampau berkaitan curi kenderaan dan dadah.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka direman hingga Rabu depan serta kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN