KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis meningkatkan bekalan kelapa tua daripada 3,000 kepada 5,000 biji setiap bulan sebagai langkah memastikan kestabilan bekalan dan harga menjelang Ramadan tidak lama lagi.
Pengarahnya, Mohd. Anzara Azizan berkata, peningkatan bekalan itu akan dilakukan menerusi dua kali penerimaan setiap bulan bagi memenuhi keperluan pengguna di negeri ini.
Katanya, pada masa ini, Pusat Operasi FAMA negeri menerima 3,000 biji atau tiga tan metrik kelapa tua setiap bulan daripada Pusat Operasi Simpang Pulai, yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan (DC) zon utara.
“Bekalan tersebut akan diedarkan ke 24 outlet pemasaran FAMA, termasuk Agrobazaar Kedai Rakyat dan Agrobazaar Rakyat serta enam pengusaha santan seluruh negeri ini,” katanya di sini semalam.
Mohd. Anzara berkata, lazimnya permintaan terhadap kelapa tua dan santan segar biasanya meningkat mendadak pada bulan puasa dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, kelapa tua serta santan banyak digunakan peniaga dan orang ramai untuk menghasilkan kuih-muih serta pelbagai lagi juadah istimewa dalam tempoh tersebut.
Kata beliau, FAMA juga bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan rantaian bekalan kelapa kekal mampan dan dapat memenuhi keperluan pengguna di Perlis.
“Walaupun tiada jaminan sepenuhnya terhadap kestabilan bekalan namun usaha menambah penerimaan kelapa ini diharap dapat membantu pengguna, pengusaha santan, pemborong dan peruncit menjelang Ramadan ini.
“Intervensi ini juga dijangka memberi impak positif dalam menangani isu kekurangan bekalan serta ketidakstabilan harga kelapa di pasaran negeri ini,” katanya.











