KUALA KRAI: Jajahan ini kembali dilanda cuaca sejuk selepas merekodkan bacaan suhu antara 18 hingga 21 darjah Celsius sekali gus menyamai suasana di kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands, Pahang sejak minggu lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk mengakui mereka perlu memakai baju tebal dan mandi menggunakan air panas terutama pada awal pagi kerana kedinginan.
Malah pendududuk mendakwa, suhu yang direkodkan ketika ini adalah yang paling sejuk dalam tempoh 11 tahun selepas 2014.
Seorang penduduk, Hamdan Mahadi berkata, cuaca persis Cameron Highlands boleh dirasai bermula lewat petang sehingga pukul 9 pagi.
“Jika awal pagi, saya terpaksa berhati-hati semasa memandu kerana kabus agak tebal. Selain itu, kami terpaksa memakai baju tebal untuk mengelakkan daripada kesejukan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Jabal Rahmat berkata, dia menggunakan air panas untuk mandi bagi menghilang rasa sejuk.
Katanya, cuaca sejuk pernah dilapor melanda Kuala Krai khususnya pada awal pagi selain keadaan berkabus.-UTUSAN










