KLUANG: Manifesto yang dibentangkan Pakatan Harapan (PH) disifatkan bukan manifesto sebenar kerana tidak berlandaskan dasar parti dan hanya menokok tambah program-program kerajaan negeri sedia ada.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, PH hanya meningkatkan angka serta program yang dilaksanakan kerajaan negeri, tidak lebih daripada itu.
Jelasnya, manifesto sebenar melibatkan polisi dan dasar parti sebaliknya mereka gunakan dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri serta dijadikan janji untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
“Sama ada mampu ditunaikan atau tidak saya tidak pasti kerana ia hanya janji yang semua orang tahu bahawa mereka telah banyak berjanji tetapi tidak tertunai hingga kini,” katanya kepada pemberita ketika hadir dalam program Ramah Mesra bersama penduduk Orang Asli di Kahang, di sini hari ini.
Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan DUN Kahang, V. Rugendran.
Tambah bekas Menteri Pengangkutan itu, sentimen kaum yang dimainkan pihak lawan tidak relevan khususnya di kawasan Parlimen Sembrong kerana rakyat sudah menjalani kehidupan berbilang kaum ini sejak puluhan tahun lagi.
“Saya sebagai Ahli Parlimen manakala di Paloh dan Kahang wakil rakyat adalah Cina dan India. Jadi tiga kaum dan agama ini boleh bekerjasama rapat dan berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira kaum, warna kulit dan agama.
“Saya rasa kita boleh menjadikan Parlimen Sembrong sebagai contoh kepada mereka yang suka menggunakan isu perkauman dan keagamaan semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya. – UTUSAN










