BELI baju raya mahal-mahal tetapi hanya boleh digunakan sekali sahaja ketika lebaran.
Kebanyakan kita pasti pernah berdepan situasi salah membeli busana Aidilfitri.
Walaupun rekaannya indah, namun segelintirnya tidak praktikal untuk diulang pakai untuk kegunaan harian.
Ia berkemungkinan kerana kemasan atau hiasan yang terlalu sarat dengan manik di samping warna serta fabrik yang kurang sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia.
Akibatnya, baju itu hanya terperap di dalam almari tanpa disentuh.
Bagi mengelak situasi itu, pereka fesyen terkenal, Alia Bastamam tampil dengan koleksi gabungan Aidilfitri dan resort.
Cetusan ideanya lantas membolehkan busana raya tampak mewah.
Paling penting, ia boleh digayakan berulang kali bukan hanya ketika Syawal tetapi untuk bersantai di pantai.
Sebanyak 36 rekaan ditampilkan dalam koleksi ini dengan mengetengahkan kemasan pleated, draping dan pusingan.
Istimewanya, setiap elemen itu diilhamkan oleh irama alam semula jadi.
Elemen ini sekali gus membuatkan si pemakai tampil langsing bak puteri ditambah dengan potongan baju yang sangat beralun.
Mengulas mengenai fabrik pula, katanya, ia terdiri daripada sifon, sutera, satin mewah dan organza.
“Pemilihan fabrik ini dapat menyerlahkan lagi keperibadian si pemakai.
“Bahkan, ia sesuai dengan cuaca Malaysia yang panas,” katanya ketika majlis pelancaran koleksi itu baru-baru ini.
Selain potongan dan fabrik yang menjadi keistimewaan rekaannya, Alia turut mengekalkan DNA sama iaitu rona-rona pastel dan alam.
Misalnya, penggunaan warna merah jambu lembut yang membangkitkan ketenangan buat si pemakai di samping ungu merah dan hijau limau.
Malah, koleksi ini turut dipersembahkan dalam rona ombre segar.
Jangan terpengaruh trend warna
Alia turut mengingatkan wanita agar tidak terikut-ikut dengan trend warna tertentu di Aidilfitri.
Sebaliknya, pilih rona yang cocok dengan kulit dan karakter diri masing-masing.
Ia penting bagi menjamin keselesaan sepanjang menyambut lebaran.
“Sebab itu, saya selalu menasihatkan pelanggan agar pilih warna yang sesuai dengan mereka kerana ia membantu membangkitkan seri wajah.
“Sebenarnya warna apa-apa pun tidak kisah asalkan sepadan dengan tudung, bag dan kasut.
“Trend warna tahunan itu hanya sekadar panduan dan tidak semestinya perlu diikuti jika tidak sesuai dengan diri,” katanya.
Bagi yang ingin tampil lebih stylo, Alia menyarankan kaum hawa suaipadan aksesori seperti subang, rantai dan beg tangan.
Tetapi, ia tidak semestinya perlu warna yang senada.
“Untuk generasi yang berusia mungkin gemarkan gaya sedondon dari atas hingga bawah.
“Namun bagi wanita yang lebih muda, mereka tidak suka nampak sarat dan mungkin hanya beg tangan atau kasut yang senada dengan warna baju.
“Gaya ini membuatkan penampilan tampak lebih menawan dan neutral tanpa kelihatan sarat,” katanya.-UTUSAN










