Atasi bebanan kerja jururawat

Atasi bebanan kerja jururawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan perlu meneliti semula penyusunan sistem syif kerja dan memastikan kadar bayaran kerja lebih masa yang lebih setimpal bagi mengurangkan bebanan jururawat. 

Pengerusi Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia, Muhammad Julihan Kamari berkata, meskipun waktu kerja dicadang dikurangkan daripada 45 jam kepada 42 jam seminggu, sebaliknya beban kerja jururawat masih tidak berubah kerana sistem penggiliran tugas yang tidak fleksibel di samping tenaga kerja tidak mencukupi.

Katanya, kadar bayaran lebih masa bagi jururawat berpengalaman lebih 15 tahun masih tidak munasabah iaitu hanya sekitar RM18 sejam, jauh lebih rendah berbanding hospital swasta yang menawarkan antara RM25 hingga RM45 sejam.

“Setiap hari, jururawat di hospital kerajaan berdepan dengan jumlah pesakit yang terlalu ramai selain kemudahan di hospital juga tidak memuaskan, kadangkala rosak sehingga mengganggu kelancaran tugas jururawat. 

“Disebabkan beban kerja yang tinggi tetapi ganjaran tidak setimpal inilah yang menyebabkan ramai jururawat memilih untuk berhijrah ke sektor swasta atau ke luar negara. Sudah tentulah dengan kekurangan staf, jururawat sedia ada akan semakin terbeban,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen mencadangkan agar Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Langkah ini bertujuan mengurangkan beban tugas yang ditanggung kakitangan kesihatan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Perkara itu susulan Kementerian Kesihatan dilaporkan berhasrat menambah waktu kerja jururawat kepada 45 jam seminggu melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Muhammad Julihan berkata, Malaysia perlu mencontohi negara jiran dan melantik ketua jururawat bagi setiap wad atau jabatan untuk memastikan penyusunan jadual lebih sistematik serta kelancaran penyampaian rawatan kepada pesakit.

“Setiap syif perlu ada seorang ketua yang bertanggungjawab dalam menyusun tugas jururawat dan memastikan kerja berjalan lancar. Apa yang saya perhatikan di Kementerian Kesihatan, kebanyakan syif tidak mempunyai ketua. Ini menyebabkan jururawat tidak mendapat waktu rehat yang mencukupi.

“Jika sistem ini diperkenalkan, jadual petugas boleh disusun dengan lebih baik. Mereka boleh bergilir-gilir berehat tanpa menjejaskan kualiti rawatan kepada pesakit. Ini akan mengurangkan tekanan kerja dan meningkatkan kesejahteraan jururawat.

“Walaupun waktu kerja dikurangkan kepada 42 jam seminggu, jururawat masih terbeban sekiranya struktur syif tidak diubah dan tidak diurus dengan lebih sistematik,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Julihan berkata, Kementerian Kesihatan perlu segera menangani masalah fasiliti hospital kerajaan yang serba kekurangan kerana ia mengganggu gugat kelancaran tugas jururawat dan doktor.

“Hospital kerajaan, terutamanya hospital besar, sering berdepan masalah kekurangan peralatan asas. Lebih menyedihkan, ada jururawat yang sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk membeli peralatan yang sepatutnya disediakan oleh hospital.

“Kadangkala, untuk membaiki peralatan yang rosak pun mengambil masa berhari-hari. Akibatnya, jururawat terpaksa mencari alternatif sendiri supaya kerja mereka lebih mudah dan pesakit mendapat rawatan segera. Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN