REMBAU: Anak bongsu kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak dan pelakon, Ayu Raudhah meninggal dunia kelmarin di kediaman pasangan suami isteri itu di Sikamat di sini kelmarin.
Muhammad Aisy Al Rees yang berusia enam bulan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) selepas dipercayai tidak sedarkan diri ketika tidur kira-kira pukul 1 tengah hari.
Jenazah bayi berkenaan kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk dibedah siasat dan seterusnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, Seremban pada pukul 9.30 pagi semalam.
Keluarga dan rakan terdekat pasangan suami isteri itu turut kelihatan hadir di hospital dan di tanah perkuburan bagi memberikan sokongan moral.
Sebelum itu, berita duka itu dikongsikan Mohamad Zaquan Adha menerusi akaun Instagram miliknya.
Sementara itu, Mohamad Zaquan ketika ditanya mengenai keadaan bayinya itu sebelum kejadian, dia memberitahu anak ketujuhnya itu berada dalam keadaan sihat dan baik.
Namun dia mengakui masih terkejut dan berharap semua pihak dapat mendoakannya dan isteri untuk kuat bagi menghadapi apa yang telah berlaku.
Bagi Ayu Raudhah pula, anak bongsunya itu disifatkan sebagai anak yang mudah dijaga dan setiap saat bersama anaknya itu disifatkan sebagai kenangan terindah buatnya.
Selain Muhammad Aisy Al Rees yang dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu, pasangan terbabit yang mendirikan rumah tangga pada 2011 turut dikurniakan enam cahaya mata yang lain berusia setahun hingga 12 tahun.-UTUSAN










