13 anak GISBH masih belum dituntut - Nancy

13 anak GISBH masih belum dituntut – Nancy

GISBH
Seramai 13 daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan anggota Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), September lalu masih tidak dituntut oleh ibu bapa mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 13 daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan anggota Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), September lalu masih tidak dituntut oleh ibu bapa mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesemua kanak-kanak itu kini ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, enam daripada mereka diperintahkan mahkamah untuk terus tinggal di institusi JKM mengikut Seksyen 30(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001, manakala tujuh lagi menerima perintah interim di institusi.

“Kita sebenarnya sudah menghubungi ibu bapa untuk hadir ke mahkamah bagi menandatangani dokumen penyerahan semula kanak-kanak berkenaan.

“Pada mulanya mereka berminat. Tetapi selepas itu, mereka tiba-tiba berubah fikiran, tidak jadi ambil anak mereka. Mungkin ini atas nasihat pihak tertentu yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Nancy berkata, apabila kementerian meminta ibu bapa atau penjaga menuntut anak-anak berkenaan, mereka diminta hadir ke mahkamah untuk proses penyerahan, bagaimanapun beberapa syarat utama perlu dipatuhi bagi proses tersebut.

“Kita mahukan mereka menjaga kepentingan kanak-kanak itu dan meminta mereka memberikan alamat, jika tukar alamat harus maklumkan kepada kami kerana alamat itu perlu untuk membolehkan kami sentiasa memantau keadaan kanak-kanak itu.

“Mereka juga harus memberikan pendidikan formal sewajarnya kepada kanak-kanak itu dan dalam tempoh tiga bulan mereka harus hadir ke pejabat JKM berhampiran untuk kita memantau kanak-kanak itu,” katanya.

Menurut Nancy, setakat ini seramai 536 daripada 560 kanak-kanak sudah diserahkan kepada keluarga mengikut Seksyen 30(1)(a) AKK 2001), manakala 11 lagi diserahkan kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) mengikut Seksyen 30(1)(b) AKK 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN