JERANTUT: Tidak ramai tukang kraf di negara ini mampu menempa bentuk pedang Damascus yang digunakan pahlawan Islam, Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan pejuang sebelumnya, namun seorang pemuda dari Kampung Melayu, di sini dapat menghasilkannya atas kesungguhan sendiri.
Pembuat kraf tangan, Irwan Syamsul, 37, berkata, pada mulanya dia menempa senjata jenis ‘Tekpi’ sebagai bahan kraf tangan berasaskan permintaan ramai pelanggan untuk hiasan dalam rumah.
“Ketika berlaku wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya meluaskan pembuatan kraf tangan berasaskan besi, iaitu menghasilkan pedang Damascus yang dianggap legenda dalam sejarah peradaban manusia kerana ketajamannya.
“Saya berhenti sebagai pemandu lori dan kembali ke kampung isteri di Bera, Pahang dan mula membuat pedang tersebut termasuk Tekpi untuk menyara keluarga,” katanya di sini semalam.
Menurut Irwan, dia mempelajari pembuatan pedang Damascus dengan melayari media sosial seperti Facebook dan TikTok selain carian Google serta membaca buku mengenainya.
Katanya, dia juga memperoleh ilmu penempaan besi pedang Damascus daripada seorang pembuat kraf tangan parang berdekatan tempat tinggalnya dan kenalan di Kuala Lumpur.
“Saya sudah mengeluarkan modal kira-kira RM10,000 untuk membina relau, mesin tempa dan peralatan membuat sarung bagi mempercepat menyiapkan permintaan tempahan yang tidak kurang lima bilah sebulan.
“Hasil buatan pedang Damascus ini sudah menghiasi dinding rumah pelanggan saya di seluruh tanah air manakala Tekpi sudah pun berada di Australia, Singapura serta Rusia yang dibeli menerusi promosi laman sosial Facebook,” katanya.-UTUSAN










