ALOR GAJAH: Tayar lori yang tercabut dan menjadi punca kemalangan maut di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Simpang Ampat di sini pada 23 Disember lalu dan hilang selepas kejadian itu, ditemukan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, komponen rim besi itu dikenal pasti di pusat pelupusan sampah di Jalan Solok,Tangkak, Johor dan telah diserahkan oleh sub kontraktor Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) kepada pihaknya.
Jelasnya, rim tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.
“Pegawai penyiasat kes bersama Ketua Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Alor Gajah dan anggota penguat kuasa telah pergi ke Pejabat PLUS di Tangkak untuk berjumpa dengan Pegawai Operasi Propel.
“Keterangan Pegawai Operasi Propel menyatakan tidak menemui tayar lori treler di lokasi kejadian dan telah memberi maklumat tentang sampah di lokasi kemalangan yang dibawa oleh sebuah lori roro.
“Usaha mencari dan mengesan tayar tersebut diteruskan dan semalam kita temui rim besi milik lori berkenaan di pusat pelupusan sampah di Tangkak,” katanya.
Sebelum ini, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) memohon bantuan dan kerjasama orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka atau maklumat tentang keberadaan tayar lori itu tampil menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya berharap maklumat yang diperoleh daripada orang ramai akan dapat menyempurnakan siasatan punca insiden kemalangan tersebut.
Tragedi itu mengorbankan seramai tujuh orang membabitkan seorang pemandu dan seorang penumpang bas persiaran manakala lima lagi adalah pemandu dan penumpang kereta Toyota Estima.
Kenderaan-kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori Foton, bas persiaran, kereta Perodua Bezza, lori Nissan dan kereta Toyota Estima.
Mahmood Razak semalam berkata, maklumat mengenai tayar yang tercabut itu akan membantu mengenal pasti punca kemalangan tersebut.
“Bahan-bahan bukti ini amat penting untuk membantu siasatan agar keluarga mangsa dan orang ramai mendapat suatu kepastian dan titik noktah berhubung tragedi ini,” ujarnya.
Katanya, laporan pemeriksaan awal Puspakom mendapati tayar terbabit memiliki rim bersaiz 22.5 inci dengan anggaran berat sekitar 100 kilogram bersama tayar.
Tambahnya, tayar tersebut dikatakan tercabut disebabkan kerosakan pada gandar kecil dan berada di tengah jalan semasa kejadian seperti yang disahkan oleh pemandu lori yang terlibat dan saksi-saksi kejadian.
“Puspakom telah memuktamadkan laporan siasatan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dan telah menyerahkannya kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
“Namun, ia hanya merangkumi pemeriksaan kenderaan manakala tayar yang tercabut itu tidak dapat diperiksa kerana tidak dijumpai,” katanya.
Menurutnya, penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang memperjudikan bukan sahaja nyawa pemandu, bahkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
“Untuk menjadikan jalan raya lebih selamat, pemilik kenderaan perdagangan juga perlu memastikan tayar yang digunakan adalah mematuhi piawaian ketahanan dan keselamatan seperti yang diperuntukkan oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN










