Puspakom Kajang mampu periksa hingga 800 kenderaan sehari

Puspakom Kajang mampu periksa hingga 800 kenderaan sehari

PUSPAKOM Kajang yang mula beroperasi hari ini mampu memeriksa sehingga 800 kenderaan sehari menerusi 10 lorong pemeriksaan, sekali gus meningkatkan kapasiti perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di selatan Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Puspakom Kajang yang mula beroperasi hari ini mampu memeriksa sehingga 800 kenderaan sehari menerusi 10 lorong pemeriksaan, sekali gus meningkatkan kapasiti perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di selatan Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pusat pemeriksaan baharu yang terletak di Bandar Teknologi Kajang itu merupakan cawangan terbesar Puspakom yang dikhususkan untuk pemeriksaan kenderaan perdagangan ringan dan kenderaan persendirian.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, pusat berkenaan mempunyai lima lorong untuk kenderaan perdagangan dan lima lorong bagi kenderaan persendirian.

“Puspakom Kajang bukan sekadar sebuah pusat pemeriksaan kenderaan baharu, malah mencerminkan komitmen kami untuk meningkatkan akses dan kemudahan kepada pelanggan, di samping memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kekal cekap, boleh dipercayai dan responsif terhadap peningkatan permintaan,” katanya dalam kenyataan.

Pusat itu mula beroperasi secara berperingkat hari ini dengan pemeriksaan kenderaan persendirian, diikuti oleh Pemeriksaan Berkala dan Pemeriksaan Ulangan Berkala bagi kenderaan perdagangan ringan pada 28 Oktober ini.

Pemeriksaan Awalan dan Pemeriksaan Ulangan Awalan pula akan bermula 23 November ini, sekali gus melengkapkan keseluruhan perkhidmatan yang ditawarkan di pusat berkenaan.

Menurut Mahmood, Puspakom Kajang turut menjadi platform penting bagi inisiatif teknologi masa hadapan syarikat menerusi penggunaan teknologi pemeriksaan berbantukan kecerdasan buatan (AI) yang meliputi pemeriksaan bahagian bawah dan atas kenderaan.

Kata beliau, teknologi berkenaan dirancang untuk dilaksanakan mulai November ini dengan pelaksanaan awal memberi tumpuan kepada pengumpulan data dan peningkatan keupayaan teknologi pemeriksaan berasaskan AI.

Pusat berkenaan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk Pemeriksaan Awalan bagi kenderaan ringan, Pemeriksaan Berkala, Pemeriksaan Khas, Pemeriksaan Pertukaran Hak Milik (MV15), Pemeriksaan Sewa Beli (B7) dan Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela (B2).
Selain kapasiti lebih besar, Puspakom Kajang turut menampilkan reka bentuk dalaman baharu dan moden, ruang menunggu berhawa dingin serta persekitaran yang lebih selesa untuk pelanggan.
“Ia juga merupakan cawangan Puspakom pertama yang menerapkan identiti korporat syarikat dalam reka bentuk cawangan sebagai langkah ke arah menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih konsisten di seluruh rangkaian Puspakom,” katanya.

Pusat itu dijangka memberi kemudahan kepada pelanggan dari Kajang, Semenyih, Beranang, Bangi dan kawasan sekitar, sekali gus menyediakan pilihan lebih dekat berbanding pusat pemeriksaan sedia ada.

Sebelum ini, pelanggan di kawasan berkenaan kebanyakannya mendapatkan perkhidmatan daripada pusat berhampiran seperti Bangi, Cheras dan beberapa lokasi di Shah Alam.

Pembukaan pusat baharu itu turut mengambil kira pertumbuhan penduduk serta peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang mudah diakses di kawasan Kajang dan Semenyih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN