SPRM kesan ‘orang tengah’ palsu dokumen lulus lesen

SPRM kesan ‘orang tengah’ palsu dokumen lulus lesen

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan kewujudan ‘orang tengah’ bagi menguruskan Surat Tawaran Kelulusan (STK) dan Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) dalam mendapatkan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP).

Difahamkan, hasil risikan SPRM menerusi Op Loader mendapati dokumen berkaitan telah dipalsu dan diubah suai seperti penyata kewangan syarikat, kontrak kerja dan kawasan tempat letak kenderaan bagi lesen yang dimohon.

“Mereka mengabaikan syarat ketat ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), khususnya membabitkan dokumen yang perlu dipatuhi serta keperluan menjalani siri pemeriksaan yang ditetapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dokumen yang dipalsukan itu kemudian diluluskan oleh pegawai tidak bertanggungjawab dengan bayaran mencecah RM20,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

LKP adalah dokumen rasmi menetapkan syarat tertentu perlu dipatuhi seperti pemeriksaan berkala kenderaan, insurans mencukupi dan pendaftaran yang sah.

Dokumen itu membenarkan pemilik menggunakan kende­raan bagi tujuan komersial atau perdagangan seperti lori, bas, teksi dan van penghantaran.

Sumber berkata, SPRM mendapati ‘orang tengah’ dan pegawai agensi dipercayai bersubahat menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa de­ngan bayaran RM3,500 setiap permohonan.

Difahamkan, ‘orang tengah’ akan membantu memalsukan dokumen seperti penyata bank dan mengurus permohonan termasuk STK dan SKLU bagi membolehkan kenderaan perdagangan menjalani pemeriksaan awalan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Rabu lalu, media melaporkan, seorang pengarah agensi kerajaan dan tiga pengarah syarikat antara lapan individu ditahan kerana disyaki terbabit rasuah kelulusan LKP tanpa memenuhi syarat.

Semua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar Melaka dan Lembah Klang dalam operasi kira-kira tiga jam bermula 9 pagi kelmarin.

Setakat ini SPRM telah menahan 22 suspek termasuk 19 pegawai pemeriksa kenderaan, seorang ejen dan dua orang runner. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini