BUKIT MERTAJAM: “Mak kata nak bawa saya datang kenduri, rupa-rupanya dia bawa saya jumpa Faisal Halim.”
Itu kata Mohd. Dawisy Zarif Mohd Khairi, 14, remaja yang melecur seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik di Bayan Lepas lebih setahun yang lalu selepas dipertemukan dengan idolanya, Faisal yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya sebelum ini.
Remaja tersebut yang ditemani ibu, Suhana Samsudin, 39, serta ahli keluarga yang lain nyata tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya ketika berpeluang bersemuka dan berjabat tangan dengan pemain Selangor FC itu.
“Rasa ‘nervous’ (gementar) juga dapat jumpa Faisal Halim depan-depan. Dia (Faisal) juga ada bagi kata-kata semangat dekat saya,” kata Mohd Dawisy ketika ditemui semasa Kejohanan Bola Sepak Permatang Pauh Madani Bawah 12 Tahun di Mengkuang Titi di sini, semalam.
Dalam kejadian 16 November 2023 itu, Mohd Dawisy yang juga anak bongsu daripada tiga beradik terkena renjatan elektrik selepas dikatakan mahu mengambil bola yang terpelanting ke dalam bilik jana kuasa berkenaan.
Akibat kejadian itu, dia yang melecur teruk terpaksa ditidurkan bagi memudahkan proses rawatan dijalankan ketika itu.
Sementara itu, Faisal ketika ditemui berkata, dia terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh Mohd Dawisy ketika ini.
“Saya pun macam dia juga (melecur pada anggota badan). Ada peluang dan ruang boleh main bola balik. Kena sentiasa kuatkan semangat, insya-Allah,” kata anak kelahiran Mengkuang Titi itu lagi.-UTUSAN










