PUTRAJAYA: Permohonan dua buah premis taska untuk mendaftarkan operasi mereka tidak akan diluluskan dengan mudah berikutan terdapat isu kematian dan insiden kecederaan terhadap bayi jagaan masing-masing.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya perlu membuat pertimbangan teliti sebelum meluluskan permohonan dua taska itu kerana ia turut melibatkan kelulusan pihak berkuasa lain.
“Jika dalam tindakan polis, maka ia tidak dapat luluskan dengan mudah. Perlukan kelulusan daripada pihak bertanggungjawab seperti bomba, pihak berkuasa tempatan. Jika di Sarawak pula, kita ada Jabatan Tanah dan Survey.
“Jadi, perlu pertimbangan dan penelitian. Kalau kita luluskan dengan begitu sahaja, ia boleh melibatkan keselamatan kanak-kanak kita,” katanya di sini, semalam.
Beliau mengulas perkembangan kes bayi berusia empat bulan yang maut di sebuah taska di Saujana Putra, Selangor Jumaat minggu lalu dan kes seorang bayi berusia lapan bulan mengalami kecederaan dan lebam dipercayai digigit kanak-kanak lain di sebuah taska dekat Kuching, Sarawak Selasa lalu.
Difahamkan, premis tersebut tidak berlesen dan permohonan sudah dihantar kepada pihak berkuasa.
Nancy berkata, pihaknya juga mempunyai kuasa untuk menyita mana-mana taska yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
“Tahun lalu, sebanyak 94 tindakan penguatkuasaan telah diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak di seluruh negara terhadap taska yang gagal mematuhi peraturan.
“Ia melibatkan sejumlah 61 tindakan membatalkan pendaftaran, arahan bertulis (1), tutup sementara (5), tindakan penguatkuasaan lak (8) dan kompaun (22),” katanya.
Susulan itu, Nancy meminta kepada golongan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke taska berdaftar bagi memastikan keselamatan anak-anak pada tahap maksimum.
Ketika ini, terdapat sejumlah 3,198 taska berdaftar yang mempamerkan plak taska berdaftar yang merupakan inisiatif KPWKM. – UTUSAN










