Orang kita cari beras murah - Utusan Malaysia

Orang kita cari beras murah

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SEBUT sahaja mengenai beras, pasti ramai yang terbayangkan wajah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, DATUK SERI MOHAMAD SABU atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu. Beliau teruk dikecam sejak isu ‘kehilangan’ beras putih tempatan (BPT) yang hingga ketika ini masih lagi tidak terlihat di pasaran. Mereka kata beliau gagal menjalankan peranan sebagai menteri yang bertanggungjawab.

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN serta dibantu jurufoto, FAISOL MUSTAFA dan juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD. IDERIS, beliau menjelaskan sebab ketiadaan BPT di pasaran dan usaha yang dilakukan kerajaan untuk memastikan sektor beras negara mencapai Kadar Sara Diri (SSR).

Dalam masa sama, beliau mahu apa jua keputusan yang bakal diambil mengutamakan kepentingan pesawah, pengilang dan pengguna dalam penetapan harga beras.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) antara lain bercakap soal kemampuan parti pimpinannya yang dikatakan senyap daripada radar politik selain dianggap hanya bergantung harap kepada kelebihan parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH).

Ikuti temubual yang berlangsung hampir sejam di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

AKUI MASIH BERDEPAN KEKURANGAN BERAS TEMPATAN

Beras sentiasa menjadi isu utama di negara kita, sejak sebelum atau selepas merdeka. Kalau masa Perang Dunia Kedua atau ketika Jepun menjajah, berlaku masalah kekurangan beras sehingga orang ramai di antaranya terpaksa makan makanan tambahan lain terutamanya ubi kayu.

Selepas merdeka, sawah padi diusahakan kebanyakannya rakyat secara tradisi. Majoriti yang terlibat dalam sawah padi adalah orang-orang Melayu secara berskala kecil.

Untuk mengawal padi dan beras, kerajaan menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). Disebabkan kekecohan hal beras, maka akhirnya LPN digantikan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Bernas merupakan pengimport tunggal beras daripada luar ke Malaysia. Jika syarikat-syarikat lain mahu mengimport beras perlu berbincang dengan Bernas kerana mereka akan menentukan syarat-syarat tambahan yang perlu dipatuhi.

Bernas memainkan peranan utama untuk menjamin kecukupan keterjaminan beras di Malaysia. Ertinya stok penimbal beras sentiasa berada di sekitar lima hingga enam bulan. Maknanya, beras sentiasa ada.

Sejak 2008, kerajaan menetapkan harga RM26 untuk 10 kilogram (kg). Ketika itu, harga belian padi RM750.

Sudah 17 tahun harga BPT tidak disemak. Ketika ini kerajaan menetapkan harga lantai belian padi RM1,300 per metrik tan.

Pun begitu, pihak pengilang ada yang membeli pada harga RM1,500 hingga RM1,700 per metrik tan. Apabila kita membuat libat urus dengan pengilang dan pemborong, mereka mengatakan tidak lagi boleh jual BPT pada harga RM26 untuk 10kg ekoran peningkatan kos elektrik, upah dan sebagainya. Oleh itu, apabila mereka tidak boleh jual dengan harga RM2.60 untuk 1kg, maka wujud dakwaan pengilang mencampurkan BPT dengan beras import. Ini bagi membolehkan mereka mendapat sedikit keuntungan dan meneruskan perniagaan.

Pada masa sama berlaku pengurangan hasil padi. Kita hilang lebih kurang 20,000 ekar kawasan padi yang ‘bertukar’ menjadi kawasan perumahan, industri ataupun ditinggalkan kerana anak-anak tidak berminat untuk mengusahakan selepas ibu bapa meninggal dunia.

Pernah satu ketika, beras kita mencapai 71 peratus kecukupannya di Malaysia. Tetapi kini sekitar 56 peratus sahaja. Apabila ditugaskan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, saya melihat hal beras ini secara serius kerana ia adalah makanan utama rakyat Malaysia dan mereka yang bekerja di negara ini seperti daripada Nepal, Bangladesh, India, Indonesia dan Myanmar. Ini memberi penambahan tiga juta orang yang memakan beras di negara ini.

BERAS TEMPATAN TERPAKSA DIPULANGKAN KEPADA PEMBORONG

Isu BPT memuncak pada tahun lalu apabila harga beras import melambung tinggi. Menurut pasar raya Mydin, pada tahun sebelum-sebelum ini, orang tidak membeli BPT, kadang-kadang perlu menghantar semula kepada pemborong kerana tidak laku ekoran harga beras import dan beras tempatan ketika itu tidak jauh berbeza. Katakan RM26 harga beras tempatan dan RM31 untuk beras import. Orang kita lebih berminat untuk membeli beras import.

Tetapi apabila harga beras import naik sehingga RM40, masa inilah pengguna mencari beras tempatan kerana harga BPT masih dikawal.

Jika dilihat daripada trend ini, rakyat Malaysia sebenarnya bukan mencari beras tempatan tetapi mencari beras yang lebih murah.

Sekarang ini, alhamdulillah apabila harga beras import sudah turun sebanyak dua kali sejak 2023 dan yang terkini menurun daripada RM3,000 satu tan kepada RM2,800 maka berlakulah juga penurunan harga sekitar RM34 hingga RM38 untuk pek 10kg.

USAHA KEMENTERIAN

Saya memang memberi keutamaan dalam hal ini dan sentiasa membawa isu ini ke peringkat kabinet, mesyuarat FSCC (Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara) dan NACCOL (Majlis Tindakan Kos Sara Hidup). Dalam masa sama juga kita berusaha meningkatkan hasil dengan tumpuan di Sekinchan, Selangor; Seberai Perai, Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Kedah.

Kaedah pembajaan, pengairan dan sebagainya dilihat paling baik di Sekinchan, maka cara tersebut kita bawa ke tempat-tempat lain supaya dapat meningkatkan hasil. Ternyata ia berjaya dilaksanakan di Pasir Puteh, Kelantan serta di Lat Seribu, di sempadan Kedah dan Perlis. Begitu juga di Besut, Terengganu berlaku peningkatan hasil padi.

Pada masa sama berlaku perubahan cuaca yang di luar kawalan seperti di Kelantan mengalami kemarau dua kali berturut-turut menyebabkan kehilangan hasil dalam lingkungan empat peratus.

Kemudian berlaku pula banjir di Kedah; Pasir Mas dan Tumpat di Kelantan ketika musim padi sedang masak. Pesawah tidak sempat menuai sekali gus terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit. Kerana ini, pentingnya untuk mencari alternatif ketiga dan keempat yang membolehkan kerajaan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak.

Sarawak mempunyai inisiatif awal untuk menjadikan negeri itu sebagai jelapang padi ketiga. Kebetulan pula Premier Sarawak berminat dalam pertanian dan beliau memperuntukkan RM500 juta untuk tanaman padi tahun ini.

Dengan penggunaan biji benih baharu dan teknologi moden, Sarawak boleh menjadi pengeksport beras dalam tempoh 10 tahun lagi. Sementara di Kota Belut, Sabah kawasannya subur cuma sistem pengairannya perlu ditambah baik.

Ini cuba kita lakukan dengan mengambil contoh malapetaka yang berlaku di New Orleans, tetapi tidak berlaku di California atau Texas. Begitu juga sekiranya banjir di Hainan, China tidak menjejaskan Beijing. Ini yang diharapkan, jika berlaku banjir di semenanjung, kita masih boleh mengharapkan bekalan dari Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri juga mengambil perhatian khas supaya hal beras ini dapat dipulihkan dan jika boleh sampai ke peringkat SSR. Misalnya jika luas sawah (satu sawah) dapat menghasilkan purata tujuh tan, maka kita sudah melepasi kecukupan. Ketika ini purata tujuh tan hanya diperoleh di Seberang Perai dan beberapa tempat di Perak dan Selangor.

ADIL KEPADA PESAWAH, PENGILANG & PENGGUNA

Jaminan kementerian pada masa ini adalah untuk memastikan tiada kenaikan harga BPT. Namun, kita menyedari kos pengeluaran dan lain-lain telah meningkat. Jadi, kita sedang meneliti hal ini dengan sebaik-baiknya kerana kelangsungan hidup pesawah perlu dijadikan keutamaan. Mereka juga perlu meningkatkan ekonomi diri.

Bahkan banyak kilang-kilang beras sudah tutup sebab tidak lagi dapat menampung kenaikan kos.

Sebab itu kita amat cakna dan sentiasa berbincang dengan semua pihak supaya apa-apa jua keputusan nanti ia dapat melegakan penanam padi, pengilang juga tidak rugi dan pengguna tidak terbeban.

SUBSIDI NEGARA TERTINGGI

Kerajaan memberi lebih daripada 60 peratus subsidi kepada pesawah meliputi racun, baja, benih dan pembajakan. Indonesia yang hanya memberi satu peratus sahaja.

Sebarang cadangan perubahan harga BPT, kita akan berbincang dengan kementerian lain termasuk Kementerian Ekonomi untuk melihat bagaimana boleh membantu golongan B40 tetapi ketika ini tiada cadangan untuk menaikkan harga BPT.

Bagaimanapun, perbincangan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa supaya pengguna tidak terbeban dan pesawah boleh terus bertahan.

KEMENTERIAN SEDAR WUJUD BERAS CAMPUR

Berdasarkan kajian awal yang dibuat oleh MyCC, aktiviti campuran beras berlaku sejak 70-an lagi. Campuran ini dibuat sebagai resepi untuk menyedapkan lagi rasa beras yang dijual. Ertinya campuran beras sebenarnya sudah jadi kebiasaan sejak dulu lagi.

Kita juga dapati dahulu orang membeli beras mengikut jenama dan tidak ambil tahu pun sama ada ia BPT, beras import atau beras campuran. Cuma sekarang ini ia menjadi isu.

Sebab itulah kita sedang membuat perbincangan akhir dengan pelbagai pihak termasuk MyCC (Suruhanjaya Persaingan Malaysia) sama ada wujud keperluan untuk membenarkan atau tidak beras campur di pasaran. Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) juga sedang giat mendaftarkan kod DNA untuk semua jenis padi yang ditanam di negara ini.

Jadi pengguna tidak perlu resah kerana apa jua keputusan yang bakal diambil kerajaan nanti, tentunya mengutamakan kebajikan pesawah dan pengguna.

PERANAN AGENSI

Seperti saya kata, penanaman padi memerlukan pembaharuan, permodenan dan pemulihan pengairan yang mana Perdana Menteri akan lancarkan tidak lama lagi. Ia adalah penanaman padi lima kali untuk dua tahun di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Sebenarnya dari segi kualiti, beras tempatan jauh lebih baik daripada beras import. Kita juga sedang meningkatkan jenis-jenis beras yang dikenalkan oleh Mardi. Diakui varieti beras hasil penyelidikan agensi ini berkualiti tinggi tetapi kita juga perlu memahami kehendak pasaran adakah benar beras tempatan atau beras import yang sebenarnya menjadi pilihan pengguna?

RAKYAT TIDAK AKAN BERHENTI SOAL KEHILANG BERAS TEMPATAN

Apa yang penting, apa yang kita buat perlu dilihat dalam jangka masa panjang. Kalau kita boleh tambah kawasan dan pengeluaran daripada 55 peratus kepada 60 atau 65 peratus, itu akan sedikit melegakan.

Memanglah ke mana saya pergi pun, orang akan bercakap mengenai beras. Saya dihentam teruk di Parlimen. Biasalah sebab ia makanan ruji rakyat kita. Kalau kita kekurangan daging, rakyat tidak bising kerana tahu mempunyai alternatif lain seperti ayam atau telur.

DAKWAAN KARTEL

MyCC yang lebih sesuai menjawab kerana itu bidang kuasa mereka yang menentukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN