Kamal Haasan, Vishal puji arahan Vijay tutup kedai arak dekat sekolah, kuil di Tamil Nadu

Kamal Haasan, Vishal puji arahan Vijay tutup kedai arak dekat sekolah, kuil di Tamil Nadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Pelakon, Kamal Haasan dan Vishal menyatakan sokongan terhadap keputusan Ketua Menteri baharu Tamil Nadu, C Joseph Vijay yang mengarahkan penutupan lebih 717 kedai arak di negeri itu dalam tempoh dua minggu.

Menurut Hindustan Times, penjualan arak merupakan antara sumber pendapatan utama kerajaan Tamil Nadu.

Kamal Haasan menerusi akaun X miliknya pada Selasa menulis, keluarga di Tamil Nadu sejak sekian lama berharap kedai arak berhampiran rumah ibadat, institusi pendidikan dan terminal bas dipindahkan.

Beliau berkata, tindakan Vijay melaksanakan arahan itu sejurus mengambil alih jawatan adalah langkah yang patut dipuji.

“Penjualan arak tidak sepatutnya menjadi fungsi kerajaan. Kerajaan perlu bertanggungjawab mengawal aliran alkohol.

“Hari ini ia bermula dengan penutupan 717 kedai arak. Jumlah itu perlu ditambah dan tindakan ini mesti diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Vishal turut memuji langkah Vijay dan berkata, beliau mengetahui kes seorang pelajar perempuan yang berdepan gangguan ketika melalui kedai arak kendalian Tamil Nadu State Marketing Corporation (TASMAC).

“Syabas kepada anda. Tabik kepada anda, Ketua Menteri Joseph Vijay. Terima kasih kerana mengumumkan penutupan 717 kedai arak terutama yang berhampiran sekolah.

“Ramai pelajar perempuan berdepan gangguan. Saya sendiri mengenali seorang pelajar di RK Nagar yang terpaksa melalui tekanan setiap hari ketika melintasi kedai TASMAC untuk pulang ke rumah,” katanya.

Menurut Vishal, rakyat biasa akan menghargai keputusan itu kerana ia membantu mengurangkan masalah sosial.

Langkah berkenaan merupakan antara arahan pertama dikeluarkan Vijay selepas mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada Ahad, 10 Mei.

Partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya Tamil Nadu baru-baru ini dan berjaya membentuk kerajaan dengan sokongan beberapa parti lain untuk mencapai majoriti 118 kerusi dalam dewan 234 anggota.

Menurut kenyataan rasmi, kerajaan negeri kini mengendalikan 4,765 kedai arak melalui TASMAC.

Vijay mengarahkan audit dilakukan bagi mengenal pasti kedai yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari rumah ibadat, institusi pendidikan dan stesen bas.

Manifesto TVK sebelum ini turut menjanjikan usaha menjadikan Tamil Nadu bebas dadah.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN