KUALA LUMPUR: Mengambil inspirasi daripada abangnya, selebriti media sosial, Ashhry Atan terus menonjolkan sikap pemurah menerusi penganjuran majlis penghargaan buat lebih 500 jururawat sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026.
Ashhry yang juga pemilik Restoran Ashhryshoshedap yang beroperasi di Nongchik Riverside, Johor Bahru sejak 28 Februari 2022 itu berkata, amalan bersedekah dan berkongsi rezeki menjadi pegangan hidupnya kerana percaya setiap kebaikan akan kembali kepada diri sendiri.
Bersempena sambutan yang diraikan pada 12 Mei lalu, Ashhry bersama kakitangan dan chef restorannya menyediakan pelbagai juadah secara percuma dengan nilai perbelanjaan melebihi RM10,000.
Menurutnya, lebih 20 jenis menu makanan Melayu serta aneka pencuci mulut istimewa disajikan kepada jururawat dari sekitar Johor Bahru termasuk Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail dan Kumpulan Perubatan Johor.
“Paling saya hargai apabila semua chef dan kakitangan sudah bersiap sedia di dapur seawal pukul 6 pagi bagi memastikan majlis berjalan lancar.
“Melihat senyuman dan kegembiraan para jururawat selepas menikmati hidangan yang disediakan memberi kepuasan yang sukar digambarkan,” katanya.
Ashhry berkata, idea menganjurkan program tersebut tercetus hasil dorongan ibunya, Hajah Hamida Haji Dan selain galakan daripada abangnya, Anas Zahrin yang sememangnya dikenali gemar membantu dan menggembirakan orang ramai.
Katanya, golongan jururawat wajar diberikan penghargaan atas pengorbanan dan dedikasi mereka yang sentiasa berkhidmat di barisan hadapan.
“Selama ini ramai meraikan Hari Polis atau Hari Guru, tetapi jururawat juga berhak diraikan kerana jasa mereka amat besar kepada masyarakat.
“Saya juga berpeluang beramah mesra dengan jururawat yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun tanpa mengenal penat lelah. Ia benar-benar menyentuh hati saya,” ujarnya.
Mengulas mengenai sikap pemurah yang sering dikongsikan di media sosial, Ashhry menegaskan segala bantuan yang dilakukan bukan untuk meraih perhatian atau menunjuk-nunjuk.
“Saya cuma berharap usaha kecil ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk turut membantu mereka yang memerlukan.
“Saya juga hanya mengharapkan doa agar perjalanan perniagaan Ashhryshoshedap terus berkembang maju,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ashhry memaklumkan cawangan kedua restoran miliknya di R&F Johor Bahru dijangka dibuka secara rasmi pada Jun depan.
Restoran Ashhryshoshedap sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Johor The Best Restaurant 2025 dan terkenal dengan menu seperti Asam Pedas Ikan Pari, Daging Salai Masak Lemak serta pelbagai pencuci mulut unik termasuk Kura Kura Mencintaimu.










