ALOR GAJAH: Senarai pendek calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi sudah disiapkan.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya kini menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan senarai tersebut selepas mendapat persetujuan daripada pucuk pimpinan parti.
Beliau juga memberi bayangan bahawa kebanyakan wakil rakyat sedia ada masih berpotensi untuk dikekalkan sebagai calon PRN nanti berdasarkan prestasi serta kesepakatan yang ditunjukkan sepanjang penggal pentadbiran ini.
Menurutnya, setakat ini tiada keperluan untuk melakukan perubahan besar memandangkan barisan kepimpinan sedia ada masih mampu meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Senarai calon sudah lama saya pendekkan, saya tak pernah panjangkan nama calon. Tunggu masa dan kita akan maklumkan. Setakat ini semua wakil rakyat telah berkhidmat dengan baik dan menunjukkan kesepakatan dalam semangat setiakawan serta kepimpinan kerajaan negeri.
“Kalau kita tengok, generasi baharu yang dipilih pada penggal lalu majoritinya berusia bawah 50 tahun dan mereka masih lagi boleh meneruskan perkhidmatan terbaik,” katanya semasa sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Meraikan Pesara Bomba dan Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Parlimen Masjid Tanah sempena sambutan Hari Bomba Sedunia di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, untuk memikirkan siapa yang ada atau tidak bukanlah masa yang sesuai kerana setakat ini tidak ada penetapan yang muktamad.
Ditanya mengenai adakah Melaka akan mengadakan PRN negeri serentak dengan Johor atau sebaliknya beliau berkata, landskap politik Melaka berbeza berbanding negeri lain termasuk Johor dan pendekatan yang diambil perlu bersesuaian dengan keadaan semasa di negeri ini.
“Kita akan memikirkan cara terbaik bagaimana kita boleh berdiri di atas kaki sendiri dan bagaimana gabungan yang ada dapat memberi keuntungan kepada Melaka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pentas demokrasi sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak untuk menawarkan diri kepada rakyat.
“Kita dipilih untuk menerajui Melaka dengan penuh tanggungjawab, maka tanggungjawab itu kita sempurnakan setiap hari. Kita tidak mencari kesalahan orang, tetapi memperbaiki kehidupan rakyat dengan cara kita sendiri,” katanya. – UTUSAN










