PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembubaran pasukan petugas khas pelbagai agensi bagi menyiasat isu berkaitan 1MDB pada 2015 bukan atas arahannya.
Bekas menteri kewangan itu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, beliau juga tidak pernah mengarahkan pertukaran peguam negara dan ketua pesuruhjaya SPRM pada tahun sama.
Najib mendakwa perubahan tersebut hanyalah langkah pentadbiran dan siasatan 1MDB oleh Bank Negara, SPRM, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan polis tetap diteruskan dengan keempat-empat agensi tersebut merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas itu.
“Dakwaan bahawa saya mengambil langkah untuk menyingkirkan ketua pesuruhjaya SPRM dan mempengaruhi penutupan kes 1MDB, tidak berasas dan tersasar.
“Perubahan kepimpinan di SPRM dan Jabatan Peguam Negara, sebahagian daripada penyusunan pentadbiran dan tiada kaitan dengan sebarang arahan atau campur tangan daripada saya.
“Penukaran Tan Sri Abu Kassim adalah keputusan pentadbiran (dan) tiada sebarang bukti mencadangkan saya memainkan sebarang peranan dalam penukarannya. Bagi Tan Sri Gani pula, saya berhasrat untuk mencadangkan pelantikannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan namun cadangan ini tidak dapat dilaksanakan.
“Dakwaan ini jelas sekali dirancang bagi mewujudkan satu naratif campur tangan yang sebenarnya tidak wujud. Ia mengetepikan realiti berhubung rombakan pentadbiran dan siasatan berterusan oleh pelbagai agensi bagi kes (penyelewengan) 1MDB. Dakwaan ini juga tidak disokong oleh mana-mana bukti,” kata Najib.
Tambahnya, sehingga kini, Abu Kassim dan Abdul Gani tidak pernah memfailkan sebarang tuntutan undang-undang atas dakwaan pemecatan secara salah.
Najib turut menafikan terlibat dengan pembubaran pasukan petugas khas menyiasat penyelewengan dana 1MDB pada 27 Julai 2015.
Ujarnya, keterangan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sendiri menyatakan bahawa bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sendiri telah menyatakan bahawa pasukan petugas khas itu tidak lagi diperlukan dan setiap agensi perlu menyambung siasatan secara bebas.
Pada prosiding sebelum ini, Zeti dalam keterangannya menyatakan pada 27 Julai 2015, pasukan petugas itu dibubarkan apabila perkhidmatan Abdul Gani ditamatkan.
Saksi pendakwaan ke-46 itu juga berkata, tiada mesyuarat pasukan petugas diadakan oleh Mohamed Apandi selepas beliau mengambil alih sebagai Peguam Negara baharu.
Menurutnya, Abu Kassim pada 5 Ogos 2015, mengeluarkan kenyataan bahawa beliau dinasihatkan oleh Peguam Negara baharu (Mohamed Apandi) bahawa Pasukan Petugas 1MDB tidak diperlukan dan setiap agensi penyiasat boleh menjalankan siasatan berdasarkan undang-undang masing-masing.
Najib kini sedang memberi keterangan bela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB pada perbicaraan dijalankan di Istana Kehakiman, Putrajaya.
Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – UTUSAN










