Mat Sabu jawab semua isu padi dan beras di Parlimen 

Mat Sabu jawab semua isu padi dan beras di Parlimen 

MOHAMAD Sabu bergambar bersama para perwakilan pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2024 di Bandar Bestari, Klang, semalam.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Segala isu dan persoalan kekurangan bekalan beras tempatan dan harga belian padi yang timbul akan dijawab pada Sidang Dewan Rakyat yang dijadual awal Februari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu berkenaan akan dimulakan seawal minggu pertama sidang Parlimen tahun ini.

“Kita juga bersedia untuk menjawab segala persoalan yang timbul mengenai isu berkenaan pada persidangan nanti. 

“Selain itu, kita mencari jalan memuaskan hati semua pihak termasuk faktor tuntutan harga padi, kenaikan harga beras dan kebajikan golongan B40,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2024 di Bandar Bestari di sini, semalam.

Dewan Rakyat akan bersidang selama 18 hari mulai 3 Februari hingga 6 Mac nanti.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sesi libat urus yang lebih teliti membabitkan semua pemegang taruh industri, perlu dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan isu bekalan beras tempatan dan harga belian padi.

Katanya, kerajaan memerlukan masa bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam proses itu kelak.

Beliau berkata, faktor itu memfokuskan kepada pihak berkepentingan sama ada pengguna, petani, pengilang dan pengedar.

 “Ia perlu dijaga kerana mereka mempunyai peranan masing-masing dan kita perlu membuat libat urus dengan lebih panjang.      

“Kita akan berbincang dengan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri. 

“Kita akan membuat  perubahan hasil persetujuan beliau nanti,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegur Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal supaya merujuk kepada pihak berkuasa berkaitan isu beras putih tempatan (BPT) sebelum mengeluarkan kenyataan.

Ketegasan itu bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat dan semua langkah yang bakal diambil bagi memastikan keberadaan BPT di pasaran, akan dimaklumkan selepas perinciannya dipersetujui kerajaan.

Sebelum ini, Syed Abu Hussin menyifatkan Mohamad gagal menjalankan tugas dalam menyelesaikan isu BPT yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.

Dakwanya, isu rakyat itu tidak serius ditangani dan peranan Bahagian Kawal Selia Padi Dan Beras dilihat tidak berkesan mencari penyelesaian dengan hanya menjanjikan kajian yang tiada berkesudahan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN