Lupakan impian ke menara gading demi jaga lima adik

Lupakan impian ke menara gading demi jaga lima adik

NUL AZIZA ROSANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Saya reda jika tidak dapat melanjutkan pelajaran andai memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana saya tidak mahu berpisah dengan lima adik-adik yang lain,” demikian kata Nul Aziza Rosani, 18.

Dia yang merupakan anak sulung daripada enam beradik yatim piatu di Tangga Batu di sini tidak sanggup berpisah dengan adik-adiknya jika mendapat tempat di menara gading kelak.

Katanya, walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyarankan untuk menempatkan mereka di sebuah asrama di Alor Gajah ekoran ibu saudaranya yang meninggal dunia baru-baru ini, cadangan itu terpaksa ditolak kerana sebab tersendiri.

“Saya tidak boleh berpisah dengan adik-adik yang lain kerana kami hidup susah dan senang bersama, sejak kedua ibu bapa, Nila Nasir dan Rosani Saman Ladit meninggal dunia pada 2006.

“Saya reda jika impian untuk melanjutkan pelajaran terpaksa saya tolak, seandainya itu memaksa saya berpisah dengan adik-beradik yang lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Pada 2021, akhbar ini melaporkan adik-beradik itu bukan sahaja tidak memiliki sijil lahir, malah tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah.

Nul Aziza kini menjadi ketua isi rumah sejak ketiadaan ibu saudaranya bagi menjaga adik-beradiknya iaitu Ahmad Baharom, 17, Azrul, 16, Khalid, 16, Mohd. Said Maulidin, 12, dan Siti Khadijah, 10.

Tambah Nul Aziza, dia akan mencari pekerjaan kerana tidak mahu terus menyusahkan pelbagai pihak dan penduduk setempat yang banyak membantu.

“Kami cukup menderita sejak kedua-dua ibu bapa sudah tidak ada lagi. Hidup kami enam beradik sebelum ini mendapat simpati penduduk setempat hingga mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Kami dapat rumah ihsan, dapat belajar seperti kanak-kanak lain dan masih bergantung simpati penduduk setempat dan ramai pihak. Saya ingin mengubah hidup tidak mahu susahkan siapa-siapa lagi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN