PETALING JAYA: Kumpulan jururawat membantah keputusan Kementerian Kesihatan meneruskan waktu kerja 45 jam seminggu sedangkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) kepada kumpulan doktor dibatalkan.
Pengerusi Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia, Muhammad Julihan Kamari berkata, pihaknya merasakan keputusan itu sebagai dwistandard dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan jururawat.
“Ini adalah dwistandard dan tidak ada satu pun perwakilan jururawat yang bersetuju dengan penambahan waktu jam bekerja daripada 42 kepada 45 jam seminggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KAJIAN
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan projek rintis WBB kepada kumpulan doktor bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.
Projek rintis itu yang bertujuan mengurangkan beban dan tekanan kerja pegawai perubatan masih dalam peringkat percubaan di lima buah hospital ketika dibatalkan.
Beliau berkata, jika WBB boleh dibatalkan untuk kajian lebih mendalam dan menyeluruh mengapa perkara yang sama tidak dilakukan dalam isu membabitkan golongan jururawat.
“Sekurang-kurangnya laksanakan kajian terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menambah waktu kerja jururawat. Sebelum ini, enam persatuan jururawat sudah menghantar kajian berhubung isu ini namun ditolak kementerian.
“Jadi, kami putuskan untuk melancarkan solidariti supaya suara kami didengar dan menerima layanan seadilnya,” katanya.
MENTAL
Beliau berkata, keputusan menambah waktu kerja jururawat adalah penyelesaian jangka pendek tanpa mengambil kira kesihatan mental dan fizikal golongan tersebut.
“Walaupun penambahannya hanya tiga jam tetapi sebelum ini pun waktu kerja jururawat adalah lebih daripada 42 jam. Jika ia ditambah maka mereka terpaksa bekerja lebih lagi jika berlaku kecemasan dan sebagainya,” katanya.
Muhammad Julihan berkata, bagi melaksanakan solidariti itu, pihaknya melancarkan petisyen untuk ditandatangani golongan jururawat, mengadakan webinar dan sebagainya sebelum kemuncak tindakan pada Mac depan.
“Pada kemuncak solidariti pada Mac ini, kami mungkin tidak akan mengadakan mogok dengan meninggalkan tugas dan sebagainya kerana kami masih memikirkan kebajikan pesakit tetapi hanya mahu suarakan isi hati kami didengar oleh kerajaan. Amat tidak adil melaksanakan suatu keputusan tanpa persetujuan pihak-pihak berkepentingan,” katanya.
Pada November lalu, satu arahan baharu dikeluarkan di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan memerlukan jururawat di wad hospital untuk bekerja tambahan tiga jam seminggu.
Mulai 1 Disember, jururawat yang bekerja secara syif dikehendaki bekerja selama 45 jam seminggu, berbanding 42 jam seperti sebelumnya.
Arahan itu mendapat reaksi negatif daripada golongan jururawat namun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyifatkan waktu kerja tambahan tiga jam itu sebagai munasabah. – UTUSAN










