Guan Eng nafi ada `cai’ dalam pemilihan CEC

Guan Eng nafi ada `cai’ dalam pemilihan CEC

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menafikan wujud `cai’ dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada Mac ini khususnya melibatkan Dinasti Lim dengan pemimpin lain yang berpengaruh dalam parti itu.

Malah beliau secara terbuka menyatakan sokongan agar kepimpinan Anthony Loke dikekalkan sebagai Setiausaha Agung parti itu.

“Saya menyokong kepimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Anthony Loke merupakan Setiausaha Agung parti itu bagi sesi 2022-2025.

Bagaimanapun, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan enggan mengulas lanjut mengenai hal-hal lain dalam parti itu.

Perkembangan politik DAP kini menjadi tumpuan khususnya menjelang pemilihan CEC DAP yang dijangka menyaksikan pertembungan ‘cai’ tertentu dalam parti.

Difahamkan, terdapat beberapa strategi daripada pihak tertentu untuk ‘merobohkan’ Dinasti Lim yang dilihat jelas mendominasi DAP selama ini.

Malah, beberapa akhbar berbahasa Cina membuat spekulasi bahawa puak Guan Eng telah kalah hampir menyeluruh dalam pemilihan parti ini.

Bagaimanapun, Anthony Loke menolak tanggapan sedemikian dengan mengatakan pengaruh dan sokongan Guan Eng dalam DAP Pulau Pinang tidak dapat dinafikan.

Menjawab dakwaan tersebut, Timbalan Setiausaha Agung parti itu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, DAP bukan parti untuk individu mahupun mana-mana keluarga atau dinasti.

Namun katanya, semua pihak juga perlu menerima hakikat yang DAP tidak akan wujud dan berjaya jika bukan kerana pemimpin dan keluarga yang mengasaskannya.

“Dalam mana-mana parti politik di Malaysia ini, corak pengurusan organisasinya secara umum boleh dikatakan sama. Ada yang muda belia dan juga yang veteran. Kedua- dua kelompok ini saling memerlukan antara satu sama lain untuk mengimbangi kestabilan dan kewujudan Parti itu untuk terus kekal relevan masa akan datang.

“Bagaimanapun, keluarga Lim tidak boleh dipisahkan dengan kewujudan parti DAP, daripada parti yang dilabel dan dimomok sebagai parti kaum Cina. Kita dapat membuktikan DAP untuk semua kaum dan bangsa dan agama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN