Bersama ‘bantu’ PH kekal kuasa? - Utusan Malaysia

Bersama ‘bantu’ PH kekal kuasa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya bukan mahu mengatakan perseteruan Datuk Seri Rafizi Ramli dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sandiwara atau sekadar strategi politik.

Peletakan jawatan Rafizi sebagai menteri, disusuli Nik Nazmi Nik Ahmad selepas Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, sudah cukup membuktikan bahawa pergeseran mereka adalah benar.

Namun setelah diperhalusi, saya yakin untuk menyatakan satu hipotesis bahawa kelahiran Bersama – parti yang diasaskan Rafizi bersama kumpulannya – dijangka lebih membantu Anwar dan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang berbanding melemahkan mereka.

Mengapa saya berkata demikian?

Cabaran terbesar PH ketika ini adalah kemerosotan sokongan pengundi Cina terhadap Kerajaan Madani.

Kegagalan menunaikan sebahagian janji reformasi yang dijaja selama lebih dua dekad telah mengecewakan sebahagian penyokong PKR dan DAP. Bagi kelompok ini, PH bukan lagi kerajaan yang benar-benar walk the talk. Pemimpinnya dikatakan lebih banyak beretorik daripada melaksanakan perubahan yang dijanjikan.

Menurut sebahagian pemerhati politik, sokongan pengundi Cina terhadap DAP yang pernah dianggarkan melebihi 90 peratus pada PRU lalu kini dipercayai semakin menurun. Ada yang menganggarkan ia mungkin berada sekitar 50 hingga 60 peratus.

Apa yang berlaku di Sabah apabila DAP tewas di semua kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya negeri turut dilihat oleh sesetengah pihak sebagai petunjuk bahawa trend yang sama berpotensi menyeberang Laut China Selatan.

Penganalisis turut menjangkakan sebahagian pengundi Cina yang kecewa terhadap kerajaan memilih untuk tidak keluar mengundi berbanding mengalihkan sokongan kepada pihak lawan.

Dalam masa sama, ramai pengundi bukan Melayu masih belum melihat PN sebagai alternatif yang sesuai. Walaupun kepercayaan terhadap PH semakin luntur, sebahagian besar masih sukar menerima PN. Ini disebabkan persepsi terhadap Pas, komponen utama koalisi itu.

Hakikatnya, persepsi negatif terhadap Pas dalam kalangan masyarakat bukan Islam tidak terbentuk dalam tempoh yang singkat. Ia dibina melalui persaingan politik selama bertahun-tahun sehingga lahir tanggapan bahawa Pas adalah sebuah parti yang keras dan sukar menerima kepelbagaian masyarakat.

Bagaimanapun, kebelakangan ini perubahan mula berlaku. Semakin ramai bukan Islam yang pernah berinteraksi atau menyertai Pas tampil berkongsi pengalaman mereka. Walaupun jumlahnya kecil, perkembangan ini sedikit demi sedikit mula mencabar naratif lama yang selama ini menjadi penghalang kepada penerimaan sebahagian pengundi bukan Islam terhadap Pas.

Tatkala tembok penghalang antara Pas dengan masyarakat bukan Islam mula menunjukkan rekahan, Bersama pula muncul. Parti itu hadir sebagai kuasa ketiga atau third force yang bukan sahaja berpotensi mengacau PH, malah turut mengganggu PN.

Pada saat PN mula dilihat oleh sebahagian pengundi sebagai alternatif selepas kekecewaan terhadap PH, kehadiran Bersama berpotensi memecahkan undi protes tersebut.

Pengaruh Bersama tidak boleh dipandang ringan. Jika parti seperti MUDA yang diasaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gagal menjadi third force yang benar-benar berkesan, Bersama mampu menawarkan dinamika yang berbeza. Jika parti itu berjaya menarik kelompok pengundi yang kecewa terhadap PH tetapi masih enggan menyokong PN, undi protes tersebut tidak akan mengalir kepada PN. Sebaliknya, ia akan terus berpecah dalam kelompok yang asalnya berada dalam ekosistem sokongan PH.

Keadaan itu secara tidak langsung boleh memberi kelebihan kepada PH.

Dalam sistem pilihan raya first-past-the-post yang diamalkan di Malaysia, perpecahan undi lawan tidak semestinya membawa kekalahan kepada blok pemerintah. Dalam banyak keadaan, ia membolehkan calon menang dengan majoriti yang lebih kecil kerana undi pencabar berpecah kepada beberapa blok.

Sebab itu, walaupun kelahiran parti baharu berpotensi melemahkan PKR dari sudut organisasi, dari sudut strategi pilihan raya ia juga boleh bertindak sebagai “penyerap undi” yang menghalang sebahagian pengundi kecewa daripada beralih secara langsung kepada PN.

Dari satu sudut, keadaan ini mungkin tidak terlalu merugikan PN kerana pengundi yang paling berpotensi menyertai Bersama bukanlah penyokong tegar PN. Mereka lebih terdiri daripada kelompok reformis, profesional bandar dan bekas penyokong PKR yang kecewa terhadap kepimpinan Anwar tetapi masih belum bersedia menerima PN. Ertinya, undi yang diserap Bersama berkemungkinan besar datang daripada kelompok yang secara tradisinya lebih dekat dengan PH.

Ironinya, parti yang lahir daripada rasa kecewa terhadap Anwar mungkin akhirnya menjadi antara faktor yang membantu Anwar terus kekal di Putrajaya. Dalam politik, pihak yang memecahkan undi lawan kadangkala memberikan kelebihan yang tidak disangka kepada pihak yang sedang memerintah.

Muhamad Mat Yakim berpengalaman selama 25 tahun sebagai wartawan dan kini pengamat politik sepenuh masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN