PETALING JAYA: DAP meneliti faktor yang menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk kerusi kubu kuat parti itu.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, pihaknya terbuka keputusan itu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan dan menyifatkannya sebagai mesej untuk DAP melakukan penambahbaikan.
Katanya, DAP meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada kekalahan PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, Tangkak serta beberapa kerusi lain yang ditandingi parti itu.
“Kami akan mengambil iktibar daripada keputusan ini dan memperbaiki kelemahan yang ada.
“Kami juga akan memastikan segala usaha membina negara dan memperjuangkan hak rakyat diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nie Ching berkata, keputusan tersebut turut menjadi peringatan kepada parti itu untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada.
“Sudah tentu ada kekurangan dan kelemahan yang patut kami perbaiki. Sudah tentu keputusan ini menghantar satu mesej untuk kami buat yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, BN berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi yang disandang sebelum ini, manakala undi yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor 2022 di Johor Jaya dan Perling dilihat beralih kepada calon BN pada pilihan raya kali ini.
Katanya, keadaan itu menyebabkan peningkatan peratusan undi diperoleh PH di kedua-dua kerusi tersebut masih belum mencukupi untuk membolehkan gabungan itu merampas kerusi berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menghormati pilihan rakyat Johor dan mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan yang diraih pada pilihan raya tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian serta menyokong calon-calon Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN










