TANGKAK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dikritik bukan kerana isu rasuah atau salah guna kuasa, sebaliknya hanya kerana bekerjasama dengan DAP.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, tuduhan terhadap kerjasama itu adalah satu tuduhan tidak berasas dan tidak wajar dijadikan alasan untuk menolak kepemimpinan seseorang.
Menurutnya, meskipun beliau tidak pernah dikaitkan dengan isu rasuah atau salah guna kuasa, masih ada pihak terus mengkritiknya kerana bekerjasama dengan DAP.
“Ada yang kata PMX ini okey, tetapi tidak okey kerana saya berkawan dengan orang Cina dan DAP. Jadi salah saya apa sebenarnya? Saya zalim ke? Saya curi wang ke? Saya korup atau saya tidak tolong rakyat? Tidak. Salah saya hanya kerana saya berkawan dengan DAP. DAP buat apa? Adakah mereka tikam kita atau rampas hak kita?,” soalnya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Sahabat Madani Bukit Gambir bersebelahan Ninso Bukit Gambir, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh serta calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gambir, Mohd. Nor Mohd. Yusof.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan terhadap DAP dengan bertanya sama ada parti itu pernah mengkhianati negara atau merampas hak rakyat seperti yang sering digambarkan pihak tertentu.
Katanya, sentimen perkauman tidak seharusnya dijadikan modal politik kerana masalah sebenar negara berpunca daripada individu tidak amanah yang menyalahgunakan kepercayaan rakyat.
“Rakyat perlu menilai pemimpin berdasarkan usaha membangunkan negara dan menyelesaikan masalah rakyat, bukan terpengaruh dengan politik kebencian,” katanya. – UTUSAN










