AMPANG JAYA: Polis menahan sepasang kekasih yang dipercayai mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga maut di sebuah rumah di Taman Bukit Aman, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian itu terbongkar selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ibu mangsa pada pukul 2.36 petang, yang memaklumkan anaknya tidak bernafas ketika sedang tidur.
“Anggota polis bergegas ke lokasi bersama pasukan paramedik dan mendapati kanak-kanak itu tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Mohd. Azam, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai didera oleh ibu kandungnya yang berusia 25 tahun bersama teman lelakinya berusia 36 tahun.
“Kanak-kanak malang tersebut mengalami kesan kecederaan serius seperti lebam di muka, leher, tangan dan kaki.
“Hasil bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala yang disyaki berpunca daripada pukulan dengan objek keras dan tumpul secara berulang,” katanya.
Susulan itu, tambah beliau, kedua-dua suspek ditahan di Taman Bukit Ampang pada pukul 5.15 petang hari yang sama.
“Hasil saringan air kencing menunjukkan suspek lelaki positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala suspek wanita didapati negatif,” katanya.
Mohd. Azam berkata, siasatan lanjut turut mendapati ibu mangsa tidak bekerja, manakala teman lelakinya bekerja sebagai jurujual.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 17 Januari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Nathen. 68, berkata, sebelum ini mangsa dijaga oleh neneknya.
Bagaimanapun, katanya, selepas nenek diserang strok dua bulan lalu, mangsa dijaga oleh ibu kandung.
“Sejak dari itu kami sering nampak lelakiwyang disyaki ‘bapa tiri’ kanak-kanak berkenaan datang ke rumahnya pada pukul 3 ke 4 pagi, setiap hari” katanya. –UTUSAN










