KLUANG: Seramai 150 keluarga di Kluang dan Paloh menerima angpau dan barangan bantuan sumbangan Yayasan Prihatin Kluang (YPK) bagi membuat persiapan akhir menyambut Tahun Baharu Cina.
Pengerusi YPK, Datuk Md. Jais Sarday berkata, kerja khidmat masyarakat seperti ini adalah sebagai salah satu peranan dimainkan YPK terhadap masyarakat yang tinggal dibawah pengurusan Majlis Perbandaran Kluang (MPK).
Katanya, YPK bukan hanya berperanan menyalurkan bantuan untuk sambutan perayaan semata-mata sebaliknya turut melibatkan keseluruhan perkara berkaitan kebajikan masyarakat setempat.
“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga penerima untuk meraikan perayaan bersama rakan-rakan serta saudara masing-masing malah YPK sentiasa cakna terhadap peranan dan tugas yang diamanahkan untuk dilaksanakan selaras dengan penubuhannya,” katanya ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Terbuka Yap Tau Sah di sini hari ini.
Seramai 100 orang sekitar bandar Kluang dan 50 orang dari Pekan Paloh, terpilih menerima sumbangan berkenaan.
Sementara itu, Pemegang Amanah YPK, Tang Soon Teck mengucapkan terima kasih atas sumbangan berkenaan yang pasti menambah keceriaan penerima meraikan perayaan itu nanti. –UTUSAN










