TELUK INTAN: Seorang bapa tunggal yang pernah tular selepas menghantar tiga anaknya ke rumah kebajikan akibat kesempitan hidup tidak dapat menahan sebak apabila berpeluang menziarahi anak-anaknya di sini semalam sempena Tahun Baharu Cina semalam.
Wong Kok Wai, 57, berkata, dia terlalu merindui tiga cahaya matanya, Wong Zi Xuan, 10; Wong Zi Yi, 8; dan Wong Zi Sen, 6, yang ditempatkan di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Jazhome sejak hampir setahun lalu.
Katanya, suasana makan besar bersama keluarga pada malam Tahun Baharu Cina menjadi kenangan paling dirindui bersama anak-anaknya.
“Saya rindukan suasana makan besar bersama anak-anak di rumah. Itu kenangan indah yang sukar dilupakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Walaupun terpaksa menyambut perayaan kali ini dalam keadaan berbeza, Kok Wai bersyukur kerana anak-anaknya dijaga dengan baik di pusat kebajikan berkenaan.
“Saya berterima kasih kepada pihak Jazhome kerana menjaga anak-anak saya dengan sempurna. Mereka kelihatan ceria dan gembira apabila berjumpa saya.
“Terima kasih juga kerana membenarkan saya membawa mereka pulang selama dua hari untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama, makan bersama dan berjalan-jalan,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, perasaan sedih tetap menyelubungi dirinya setiap kali menghantar semula anak-anak ke rumah kebajikan.
“Memang tidak mahu berpisah, namun keadaan hidup saya masih belum stabil. Buat masa ini, lebih baik mereka tinggal di sini kerana kebajikan mereka lebih terjamin,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Wong Zi Xuan berkata, dia gembira dapat meluangkan masa bersama bapanya sempena perayaan tersebut.
“Saya seronok dapat balik rumah, makan sedap-sedap dan berjumpa saudara-mara. Bapa pesan supaya kami rajin belajar dan jadi anak yang berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Jazhome, Ooi Lay Teng berkata, pihaknya membenarkan ibu bapa atau penjaga berjumpa atau membawa balik anak mereka pulang sempena Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, terdapat seramai 47 kanak-kanak di pusat kebajikan itu yang sentiasa ceria kerana guru-guru menyediakan pelbagai aktiviti untuk mengisi masa lapang mereka termasuk bersukan, membaca buku, aktiviti riadah, makan beramai-ramai dan sebagainya.
“Tiga beradik ini sudah hampir setahun tinggal di sini, mereka sudah pandai membaca dan menulis. Mereka selalu cakap nak rindu dan nak berjumpa bapa. Hari ini impian mereka tercapai,” katanya. – UTUSAN










