GEORGE TOWN: Tempahan hotel di Pulau Pinang mencatat prestasi memberangsangkan sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina, dengan kebanyakan premis penginapan mencatat kadar penghunian antara 80 hingga 100 peratus.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang (MAH), Tony Goh berkata, tempahan bermula dari hari pertama hingga hari kelima perayaan menunjukkan angka sangat positif, melibatkan hotel di kawasan bandar dan hotel peranginan pantai yang menerima permintaan tinggi daripada pelancong domestik dan antarabangsa.
“Tempahan hotel kali ini memang amat baik. Ada hari tertentu yang full house, manakala hari lain sekitar 80 hingga 90 peratus tempahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Goh berkata, hotel peranginan khususnya di kawasan Batu Ferringhi turut mencatat prestasi memberangsangkan walaupun sebelum ini terdapat isu hakisan pantai.
Katanya, peningkatan tempahan dipengaruhi beberapa faktor termasuk cuti persekolahan dan pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa ke negara ini.
“Kemasukan pelancong luar negara juga meningkat. Kemudahan sistem autogate imigresen yang membolehkan pelawat dari puluhan negara masuk dengan lebih cepat turut membantu melancarkan proses ketibaan,” katanya.
Beliau turut menjangkakan sektor perhotelan terus menerima tempahan baik menjelang Ramadan.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia sepanjang cuti persekolahan yang bersambung dengan cuti sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan mendapati, beberapa lokasi tumpuan pelancong khususnya kawasan warisan di sekitar pusat bandar George Town, menjadi tumpuan pelancong yang ingin menikmati seni bina kolonial, mural seni jalanan dan kepelbagaian makanan tempatan.
Selain itu, kawasan pesisir terkenal seperti Gurney Drive turut menerima kunjungan tinggi pelancong yang mahu menikmati suasana santai di tepi laut sambil mencuba pelbagai hidangan makanan tempatan di gerai penjaja terkenal. – UTUSAN










