Tun Dr. Hasmah main piano, alunan biola sentuh hati pesakit di IJN

Tun Dr. Hasmah main piano, alunan biola sentuh hati pesakit di IJN

DR. Hasmah Mohamad Ali menggesek biola di ruang lobi Institut Jantung Negara (IJN) sebagai terapi minda buat waris pesakit dan petugas sempena Tahun Baharu Cina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suasana hening di lobi Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini bertukar syahdu apabila isteri bekas Perdana Menteri ,Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali mempersembah alunan piano dan gesekan biola secara spontan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau menemani Dr. Mahathir bagi mendapatkan rawatan susulan di pusat perubatan berkenaan.

Dalam suasana santai, Dr. Hasmah meluangkan masa kira-kira 20 minit menghiburkan pesakit, waris dan petugas kesihatan yang berada di ruang menunggu utama institut berkenaan.

Persembahan bermula sekitar pukul 10.30 pagi dengan beberapa lagu sentimental berirama perlahan yang menyentuh jiwa. Alunan lembut piano disusuli gesekan biola yang sederhana namun sarat penghayatan, mencipta suasana damai di tengah kesibukan hospital.

Beberapa pengunjung yang kebetulan berada di situ nyata terpegun dengan kebolehan beliau menguasai kedua-dua instrumen berkenaan. Ada yang merakam detik istimewa itu menggunakan telefon bimbit manakala sebahagian pesakit dilihat tersenyum dan mengangguk perlahan mengikut rentak muzik.

Seorang waris pesakit, Apendy Zakaria, 42, berkata, persembahan itu seolah-olah menjadi terapi emosi buat mereka yang sedang menanti khabar perkembangan kesihatan insan tersayang.

“Tidak sangka Tun Dr. Hasmah sangat berbakat. Muzik yang dimainkan sangat menenangkan. Sekurang-kurangnya hilang seketika rasa bimbang dan debaran di hati,” katanya ketika ditemui.

Menurut Apendy, dalam suasana hospital yang lazimnya dipenuhi rasa cemas dan harapan, alunan muzik yang lembut memberi ruang untuk bernafas dan menenangkan fikiran.

“Momen tersebut jarang berlaku dan memberikan pengalaman luar biasa. Biasanya suasana di sini agak serius. Tetapi pagi ini terasa berbeza. Muzik dimainkan benar-benar memberikan ketenangan kepada semua,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN