Sekat kenderaan berat guna lebuh raya, elak kemalangan - RESPA

Sekat kenderaan berat guna lebuh raya, elak kemalangan – RESPA

LARANGAN tersebut akan dikuatkuasakan selamat empat hari iaitu dari sebelum perayaan pada 27 hingga 28 Januari dan selepas perayaan pada 1 hingga 2 Februari ini. - UTUSAN/GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) menggesa kerajaan melaksanakan sekatan penuh terhadap kenderaan berat memasuki lebuh raya di negara ini.

Presidennya, Datuk Meor Chek Hussien berkata, sebarang pergerakan logistik yang membawa muatan berat sepatutnya dialihkan kepada penggunaan kereta api bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

“Semua barangan yang hendak dibawa atau dihantar boleh menggunakan kereta api dan langkah itu juga sudah mula diamalkan di beberapa negara luar,” katanya.

Mengulas mengenai had masa kemasukan kenderaan berat di lebuh raya, Meor berkata, langkah tersebut hanya bersifat sementara dan tidak mampu menyelesaikan isu kemalangan melibatkan kenderaan berat secara menyeluruh.

“Contohnya semasa musim perayaan, tempohnya singkat dan lori-lori tetap akan beroperasi sepanjang tahun. Jadi, itu cuma tindakan sementara yang tidak berkesan sepenuhnya.

“Kerajaan harus mengkaji langkah yang lebih drastik bagi memastikan tragedi seperti yang berlaku baru-baru ini dapat dielakkan,” tambahnya.

Selain itu, Meor berkata, penguatkuasaan terhadap kenderaan berat di Malaysia masih lemah dan perlu dipertingkatkan kerana terdapat banyak kenderaan berat yang tidak mematuhi spesifikasi keselamatan serta isu pemandu yang tidak memiliki lesen memandu.

“Pemeriksaan yang lebih ketat wajar dilakukan, terutamanya di stesen-stesen bas dan pusat pemeriksaan sebelum bermulanya perjalanan.

“RESPA juga berharap kerajaan akan mengambil langkah proaktif dalam menangani isu ini demi keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan yang membabitkan kenderaan berat,”: katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×