SHAH ALAM: Selangor mengumumkan pelan pembangunan infrastruktur jalan dan lebuh raya bernilai RM77 bilion bagi tempoh 10 tahun bermula tahun ini.
Pelan Strategik Jalan dan Lebuhraya Selangor 2026 – 2035 (Jalur Selangor) itu melibatkan 115 cadangan merangkumi 64 penaiktarafan jalan, 35 pembinaan jajaran terputus dan 16 pembinaan jejambat dan susur bertingkat di persimpangan kritikal.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, matlamat pelan strategik itu adalah meningkatkan kelancaran trafik di samping menyokong pembangunan zon ekonomi di Kuala Langat, Sabak Bernam, Aeropolis di Subang dan automotif di Hulu Selangor.
Katanya, pembiayaan pelaksanaannya akan melibatkan Kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak konsesi dari lebuh raya dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Dengan pelan tersebut kita sudah ada garis panduan, sebenarnya setiap tahun dalam rancangan belanjawan kita akan lihat jalan mana akan dihubungkan atau diberi keutamaan.
“Keutamaan akan diberi berdasarkan senarai projek, permintaan dan isu-isu berbangkit daripada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Pelan Strategik Jalor Selangor di sini, hari ini.
Amirudin menambah, meskipun ia melibatkan jangka masa sehingga 10 tahun, sebahagian daripada pelan itu juga akan termasuk di dalam Rancangan Selangor Kedua (RSK2).
“Sebahagiannya akan dimasukkan dalam RSK2 dan ia melibatkan jalan baharu yang kebanyakannya adalah jajaran terputus sebagai contoh Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dengan Pulau Carey.
“Kalau itu dapat dibangunkan ia secara tidak langsung akan dapat menggerakkan pergerakan logistik dengan lebih pantas bagi pembinaan pelabuhan ketiga,” ujarnya. – UTUSAN











