PETALING JAYA: Siasatan jenayah boleh dijalankan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad susulan tindakannya untuk tidak meneruskan tuntutan terhadap kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Berdasarkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang didedahkan kepada umum hari ini, Dr. Mahathir boleh disiasat di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 418 Kanun Keseksaan.
Menurut laporan itu, dalam konteks Seksyen 415(b), apa yang perlu ditunjukkan ialah Dr. Mahathir telah menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan tersebut walaupun keputusan telah dibuat secara sepihak olehnya tanpa kelulusan Jemaah Menteri.
Tambahnya lagi, sekiranya Jemaah Menteri dibekalkan dengan kertas kuasa tindakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan pandangan bertulis daripada perunding antarabangsa, Kabinet berkemungkinan mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan kedua-dua permohonan tersebut.
“Dalam hal ini, Dr. Mahathir berkemungkinan telah dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas permohonan tersebut mempunyai kebarangkalian untuk berjaya.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan, apa yang perlu dibuktikan ialah berlakunya dorongan berniat (intentional inducement) dan tidak perlu membuktikan niat tidak jujur,” kata laporan tersebut.
Selain siasatan di bawah Seksyen 415(b), RCI yang ditubuhkan turut berpendapat satu siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr. Mahathir atas kesalahan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, RCI berpendapat bahawa siasatan itu boleh dibuat atas fakta bahawa Dr. Mahathir telah menipu kerajaan dengan pengetahuan bahawa beliau berpotensi untuk menyebabkan kerugian salah (wrongful loss) kepada Kerajaan Malaysia kerana sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai obligasi untuk melindungi kepentingan negara.
Tambahnya lagi, RCI juga berpendapat bahawa Dr. Mahathir telah menipu Kerajaan Malaysia yang terdiri daripada ahli-ahli Jemaah Menteri dan menyebabkan mereka membuat keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut.
“Penipuan yang dilakukan oleh Dr. Mahathir adalah berhubung kait dengan pelaksanaan fungsi-fungsi tanggungjawab beliau yang mana beliau mempunyai obligasi secara undang-undang untuk melindungi kepentingan Malaysia.
“Sebagai Perdana Menteri, beliau adalah bertanggungjawab terhadap negara dan hendaklah pada setiap masa memelihara, melindungi serta mempertahankan kepentingan dan kedaulatannya.
“Dengan membuat keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut, Dr. Mahathir telah menyebabkan kerugian salah (wrongful loss) kepada Kerajaan Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, laporan itu turut menyebut pandangan RCI bahawa terdapat asas untuk satu siasatan jenayah dijalankan terhadap Dr. Mahathir atas kesalahan di bawah peruntukan seksyen 418 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, dalam isu tindakan jenayah itu, dua panel RCI iaitu Tan Sri Datuk Zainun Ali dan Datin Prof. Dr. Faridah Jalil berpendapat tindakan-tindakan Dr. Mahathir berhubung keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut hanyalah merupakan satu pengabaian tugas (dereliction of duty) dan tidak terjumlah kepada suatu kesalahan jenayah di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.
“Kesimpulan Suruhanjaya mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan satu siasatan jenayah dimulakan terhadap Dr. Mahathir atas kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 415(b) dan Seksyen 418 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN