Ratusan mayat hancur hanyut depan mata

Ratusan mayat hancur hanyut depan mata

ABD. RAZAQ Syukri bersama isteri dan anak-anaknya menunjukkan gambar-gambar tragedi tsunami Aceh pada 2004 yang mengorbankan ratusan ribu nyawa dan memusnahkan banda Aceh ketika ditemui di Kampung Sungai Berembang, Simpang Empat, Arau, Perlis, baru-baru ini. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ratusan mayat dengan badan hancur, manakala kepala, tangan dan kaki putus selain perut terburai terma­suk puluhan mayat bayi hanyut di depan mata adalah antara igauan ngeri yang masih menghantui mangsa tsunami terselamat.

Keadaan ngeri dan menyayat hati itu disaksikan sendiri oleh mangsa tragedi tsunami di Aceh yang berlaku pada 26 Disember 2004 meragut lebih 160,000 nyawa.

Malah, bencana alam terbesar dan amat dahsyat dalam sejarah Indonesia itu juga menyaksikan lebih 500,000 penduduk hilang tempat tinggal, puluhan ribu dilaporkan hilang selain menjadikan Banda Aceh hancur ‘padang jarak padang tekukur’.

Menceritakan detik ngeri itu, Abd. Razaq Syukri, 33, yang terselamat berkata, bencana meninggalkan trauma mendalam kepada dirinya.

“Pada waktu kejadian, saya berusia 15 tahun. Meskipun sudah 20 tahun berlalu, namun detik tsunami tersebut masih segar dalam ingatan saya kerana tsunami itu juga meragut nyawa bapa saya, Syukri Yunus, datuk, nenek dan anak saudara.

“Saya terselamat dalam kejadian itu apabila sempat berpaut pada dinding rumah sebelum memanjat untuk berlindung di atas bumbung selama hampir enam jam dari pukul 10 pagi sehingga 3.30 petang. Ibu saya, Wahyuni Ahmad, 59, dan seorang adik perempuan yang pada masa itu berusia 10 tahun juga selamat dalam kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Sungai Berembang, Simpang Empat, di sini baru-baru ini.

Abd. Razaq yang merupakan warga Aceh adalah antara jutaan penduduk yang terjejas akibat bencana itu.

Ketika itu dia tinggal bersama keluarganya di Banda Aceh di mana bapanya bekerja di sebuah kilang.

MAYAT PUTUS KEPALA, TANGAN, KAKI DAN PERUT TERBURAI

Ketika berlindung di atas bumbung, Abd. Razaq melihat bagaimana arus deras tsunami menghanyutkan ratusan mayat dalam keadaan badan hancur, kepala, tangan dan kaki putus selain perut terburai, malah, dia juga melihat bagaimana puluhan mayat bayi terapung.

Paling tidak dapat dilupakan, kata Abd. Razaq, individu yang bersama-sama dengannya di atas bumbung yang ketika itu dalam keadaan perut terburai, nazak dan perlahan-perlahan meninggal dunia.

Mengimbau semula saat dari awal kejadian berkenaan, anak keempat daripada lima beradik itu berkata, pada pagi 26 Disember itu, dia bersama ibu dan adiknya sedang bersarapan di rumah kira-kira pukul 8 pagi sebelum dikejutkan dengan gempa pertama yang menggegarkan kediaman yang terletak empat kilometer dari pantai.

Manakala bapanya pula, sudah keluar bekerja di salah sebuah kilang yang terletak betul-betul di depan laut yang ketika tsunami melanda de­ngan ombak mencecah ketinggian 45 meter.

Katanya, selepas itu, keadaan sedikit reda dan dia menghantar makanan ke rumah neneknya yang terletak berhampiran sebelum gempa kembali berlaku me­nyebabkan keadaan kembali kucar-kacir.

Ujarnya, gempa kedua berlaku dalam masa kira-kira sejam sehingga pukul 9.15 pagi.

“Pada masa itu, bunyi dentuman kuat seperti guruh dan keadaan di luar rumah jadi huru-hara dengan orang ramai mula berlari. Ada yang menjerit, bertakbir serta menangis. Derungan ombak pada masa itu sangat kuat.

“Ibu yang memegang erat tangan saya dan adik selepas itu keluar meninggalkan rumah nenek untuk menyelamatkan diri. Keadaan sangat sesak ketika itu, sukar untuk bergerak lagi sehingga ibu terlepas ta­ngan saya dan adik. Kami terpisah dibawa arus deras.

“Ibu yang merangkul adik dalam keadaan air sudah memenuhi kawasan itu menye­rahkan adik kepada seorang penduduk untuk diselamatkan dengan berlindung di atas rumah dua tingkat. Selepas itu, ibu pula dibawa arus deras dengan paras air ketika itu sehingga bumbung rumah.

“Selepas air mula sedikit surut apabila ditarik semula ke laut, saya di atas bumbung melihat keadaan cukup me­nyayat hati dengan mayat dalam keadaan mengerikan dengan kepala, ta­ngan, kaki terputus dengan ada mayat yang hancur selain perut terburai dihanyutkan arus tersebut.

“Kami di atas bumbung ha­nya mampu melaungkan azan sehingga berjam-jam di situ,” katanya.

Katanya, selepas itu, dia berjalan mencari bantuan dan terjumpa ibu dan adik.

“Kami singgah sebentar di sebuah rumah dua tingkat untuk mencari kain bagi membalut kaki ibu yang cedera pada masa itu.

“Selepas itu, kami keluar mencari bantuan untuk mendapat perlindungan di kem di lapangan terbang. Untuk ke situ, kami menempuh dan terpaksa berjalan di atas mayat yang bergelimpangan.

“Kami tinggal situ dalam tempoh tiga bulan. Sebelum itu, di awal-awal kejadian mereka berlindung di atas kapal yang hanyut tersebut.

“Kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah pula musnah sepenuhnya. Pada masa sama, nasib bapa tidak diketahui sehingga mayatnya ditemukan selepas tiga bulan.

“Kami difahamkan mayat bapa ditemukan di pejabat kilang bapa bekerja dalam keadaan kedudukan tahiyat akhir. Kawasan bapa itu, boleh dikatakan lebih 90 peratus meninggal dunia,” katanya.

Sepanjang tinggal di kem tersebut dari Disember sehingga Mac 2005, mereka diibarat seperti pelarian khususnya pada bulan pertama dengan kekurangan makanan dan pakaian sebelum bantuan demi bantuan mula datang.

MULA KEHIDUPAN BAHARU

Sementara itu, katanya, selepas itu, mereka sekeluarga berhijrah ke kampung ibu di Aceh Utara dan tinggal sementara di rumah yang dibina pihak swasta.

Katanya, tiga ke empat bulan mereka tinggal di situ sebelum pulang semula ke tempat asal apabila pihak syarikat bapa nyabekerja memberi bantuan untuk membina rumah.

“Saya seorang diri kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur pada Ogos 2005 untuk belajar agama di tahfiz di Kuala Lumpur selama enam bulan sebelum menyambung belajar agama itu di Yala, Thailand sehingga 2010.

“Kemudian saya sambung belajar lagi di Indonesia dalam jurusan hadis selama empat tahun. Pada 2015 saya mula be­kerja de­ngan membuka madrasah di Aceh.

“Ketika itu, saya bertemu dengan insan yang menjadi bapa dan ibu mentua saya ketika ini.

“Pada masa itu, mereka datang ke Aceh dan saya menjadi penunjuk arah atau pemandu pelancong untuk me­reka.

“Selepas berkahwin pada 2016, saya terus menetap di Malaysia iaitu di Perlis sehingga kini,” katanya.

Dia yang mendirikan rumah tangga dengan Nur Ainaa Izzati Rizal,29, dari Kampung Sungai Berembang, Simpang Empat itu kini mempunyai dua orang anak iaitu Yahaira Thalita,7, dan Yaseera Tsamara,3,

TRAUMA LEBIH 10 TAHUN

Sementara itu, katanya, bencana tsunami tersebut menyebabkan dia trauma dalam tempoh yang agak panjang dan detik mengerikan itu sentiasa bermain di fikiran.

“Lebih 10 tahun saya trauma, tidak boleh lihat laut, angin kuat dan situasi kelam kabut. Ia mengingatkan kembali saya dengan kejadian tsunami yang sangat memberi kesan.

“Kadangkala, saya juga termimpi-mimpi kejadian itu, khususnya saat melihat orang yang bersama di atas bumbung rumah semasa menyelamatkan diri da­ripada tsunami berkenaan mati di depan mata dalam keadaan perut terburai,” katanya.

Katanya lagi, pada musim perayaan khususnya, dia bersama keluarga akan pulang bagi menziarahi ibu yang berada di Aceh.

Ujarnya, keadaan Banda Aceh pada masa ini, sudah kembali baik dengan pembangunan semula selain ciri-ciri keselamatan seperti sistem amaran tsunami juga sudah ada.

“Kejadian tsunami 2004 itu, adalah yang paling buruk pernah berlaku di Indonesia dan ia akan sentiasa dikenang sehingga akhir hayat. Sudah 20 tahun kejadian itu berlalu, namun sehingga kini, ia masih segar dalam ingatan,” katanya.

Kini, Abd. Razaq bahagia menjalani kehidupan baharu di sini bersama keluarga dan mencari rezeki dengan mengusahakan kedai kopi bersama isterinya di Simpang Empat di sini.

Cafe Kupi Gayo yang diusahakan pasangan tersebut juga antara lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung dan popular di negeri ini.

TSUNAMI BERI KESAN 14 NEGARA LAIN

Sebelum kejadian itu, gempa bermagnitud 9.3 berlaku di dasar lautan Hindi iaitu 160 batu dari barat pulau Sumatera yang berlanjutan selama 10 minit. Ia menghasilkan tsunami yang tenaganya dianggarkan dua kali ganda seluruh bom yang diledakkan ketika Perang Dunia II.

Tidak sampai 20 minit, gelombang tsunami itu sampai ke pantai pulau Sumatera dan memusnahkan wilayah utara pulau itu di Aceh dengan ketinggian ombak mencecah 80 hingga 100 kaki melenyapkan komuniti di situ.

Akibat tragedi tersebut, sepanjang tahun 2004 sehinggalah 2009, Aceh telah melalui proses pembinaan semula untuk memulihkan semula muka bumi dan infrastruktur wilayah berkenaan.

Kejadian tsunami pada 2004 itu juga bukan sahaja memusnahkan Banda Aceh tapi turut memberi kesan kepada 14 negara lain termasuk Malaysia dengan mengorbankan hampir 283,000 nyawa, manakala 14,000 lain masih gagal ditemui dan 1.12 bilion penduduk hilang tempat berteduh.

Bukan itu sahaja, Malaysia turut terkesan dengan tsunami itu apabila ombak besar membadai negeri-negeri di kawasan pantai barat yang mengorbankan 67 nyawa.
Pulau Pinang merupakan negeri yang paling teruk terjejas dengan melibatkan 52 kematian diikuti Kedah (12 mangsa), Perak (dua mangsa) serta seorang mangsa di Selangor.

Selain itu, tsunami turut melanda kawasan laut Hindi dan menjejaskan Sri Lanka, malah ia turut dilaporkan merentas sehingga ke kawasan pantai timur Afrika yang merupakan tempat paling jauh dari titik gempa yang menerima kesan bencana tsunami berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN