Sebelum umur 35, saya berharap dapat timang dua orang anak - Elizabeth Tan - Utusan Malaysia

Sebelum umur 35, saya berharap dapat timang dua orang anak – Elizabeth Tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas hampir tiga tahun berusaha mendapatkan zuriat, pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan, mendedahkan dia menyimpan impian untuk menimang sekurang-kurangnya dua cahaya mata sebelum mencecah usia 35 tahun.

Elizabeth atau Elizabeth Tan Su Mei, 32, berkata, dia mahu ibu bapanya berpeluang mengenali dan melihat cucunya membesar kerana kedua-duanya sudah berusia selain impian untuk bergelar ibu.

“Tahun ni saya dah berumur 32 tahun. Kami dah mula cuba daripada umur saya 30 tahun. Kalau boleh sebelum 35 tahun, saya nak dua orang anak. Sekarang satu pun tiada. Ibu bapa saya pun dah tua.

“Saya nak mereka kenal anak-anak saya. Melihat anak-anak saya membesar. Saya buat untuk mereka dan diri saya juga,” katanya.

Elizabeth berkata demikian ketika ditemui di sidang media pengenalan pelakon filem Pemuja Syaitan yang diadakan di 10 Stars Cinema, Hextar World Empire City, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, Elizabeth berkata dia kini sedang mempertimbangkan masa yang sesuai untuk memasukkan embrio selepas menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

Katanya, dia pada mulanya terfikir untuk meneruskan proses tersebut sebelum menjalani penggambaran sebuah filem berskala besar tahun depan.

“Saya sebenarnya tengah buat keputusan sama ada saya nak masukkan (telur) sekarang atau buat filem dahulu. Tahun depan saya akan menjalani pengambaran sebuah filem berskala besar.

“Tapi saya rasa saya kena buat filem dahulu. Selepas habis penggambaran nanti, barulah saya akan terus masukkan embrio,” katanya.

Dalam pada itu, Elizabeth mengakui tidak mahu terlalu meletakkan harapan tinggi terhadap rawatan IVF yang sedang dilaluinya.

Ujarnya, dia menganggap IVF bukan pilihan pertama bagi mana-mana wanita yang berdepan masalah mendapatkan zuriat kerana kehamilan secara semula jadi tetap menjadi harapan utama.

“Saya tak mahu berharap apa-apa. Tiada orang yang nak buat IVF sebagai pilihan pertama. Kalau boleh semua nak mengandung natural.

“Saya sebenarnya tak mahu terlalu teruja dan tak mahu letakkan harapan. Saya pernah buat IUI sebanyak dua kali, tak lepas juga. Kita dah cuba setiap bulan pun tak lekat. IVF tak semestinya menjadi,” katanya.

Pada Ogos lalu, Elizabeth memaklumkan dia sedang menjalani rawatan IVF sebagai usaha mendapatkan cahaya mata selepas tiga tahun berusaha.

Untuk rekod, Elizabeth dan Dr Siew mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2021.

Dalam perkembangan lain, Elizabeth membintangi filem seram Pemuja Syaitan yang juga naskhah layar lebar pertama arahan Liyana Jasmay dan filem tersebut bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×