A. Aida belum sedia ‘lepaskan’ Azeva kepada produksi lain - Utusan Malaysia

A. Aida belum sedia ‘lepaskan’ Azeva kepada produksi lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bukan mahu menyekat peluang, penerbit terkenal, Datuk A. Aida mengakui masih berhati-hati untuk membenarkan anaknya, Azeva Natassha menerima tawaran lakonan daripada produksi lain.

Menurut A. Aida, sebagai seorang pengarah, dia tahu tahap kemampuan seseorang pelakon dan tidak mahu Azeva terburu-buru menerima tawaran hanya kerana namanya mula mendapat perhatian.

“Saya seorang pengarah. Saya tahu seseorang artis itu boleh berlakon atau tidak. Saya mahu pastikan Azeva betul-betul bersedia sebelum saya lepaskan dia bekerja dengan produksi luar. Saya tidak mahu orang bercakap mengenai lakonannya

“Sebab itu saya mahu dia bersama saya dahulu. Biar dia cuba beberapa genre dan kita gilap lakonannya sehingga betul-betul bagus. Selepas itu barulah saya boleh lepaskan dia bekerja dengan pihak luar. Buat masa sekarang, memang tidak,” katanya.

A. Aida berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu puteri kesayangannya, Azeva yang berjudul Tanpa Rasa Jemu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, penerbit drama Sekali Lagi Cinta Kembali itu menjadikan pengalamannya membentuk kerjaya pelakon, Siti Khadijah sebagai pendekatan sama yang mahu diterapkan terhadap Azeva.

“Macam Siti Khadijah dahulu, dia bersama A. Aida Production selama lima tahun dan pernah bernaung di bawah syarikat pengurusan saya sendiri.

“Saya ajar dia mengacara dan berlakon. Kita gali bakat dia dahulu dan beri banyak pengalaman supaya ilmunya penuh di dada.

“Apabila saya tengok lakonan Siti sudah bagus, barulah saya beri peluang kepadanya menjadi heroin drama Akasia saya, Sekali Lagi Cinta Kembali. Perkara sama saya mahu lakukan terhadap anak saya,” jelasnya.

Pada masa sama, A. Aida memaklumkan fokus utamanya kini mahu mengasah bakat dalam pelbagai cabang industri seni, termasuklah dunia pengacaraan.

“Objektif utama saya untuk Azeva adalah nyanyian dan lakonan. Tetapi di luar jangkaan, saya pun tidak sangka Allah beri dia bakat untuk menjadi pengacara apabila Astro memberikan peluang kepadanya.

“Bagi saya, tidak ada masalah. Apa sahaja yang dia suka, kita ikut. Cuma objektif utama tetap lakonan dan nyanyian,” ujarnya.

Terdahulu, Azeva memaklumkan dia menyerahkan segala urusan kerjayanya bulat-bulat kepada ibunya yang juga pengurusnya, A. Aida, selain tidak terasa hati andai penerbit itu pernah menolak tawaran lakonan daripada beberapa produksi.

Azeva menyifatkan keputusan ibunya itu sebagai langkah untuk mempersiapkan dirinya menjadi seorang artis yang berkualiti sebelum yakin untuk melepaskannya bekerjasama dengan pihak lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×