‘Pihak atasan arah naikkan premium insurans perubatan'

‘Pihak atasan arah naikkan premium insurans perubatan’

Laporan muka hadapan UTUSAN MALAYSIA 7 Disember 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mendakwa arahan menaikkan kadar premium insurans perubatan dilakukan oleh pihak atasan syarikat terbabit tanpa pengetahuan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ini sekali gus menggambarkan ada sesetengah syarikat insurans mengambil kesempatan dan membelakangi arahan kerajaan dan BNM yang bertindak sebagai pembuat keputusan berhubung isu berkenaan.

Menurut Presiden Cake, Mohd. Yusrizal Yusoff, beliau ada menghubungi beberapa syarikat insurans bertanyakan isu kenaikan kadar premium yang hangat diperkatakan ketika ini.

Beliau diberitahu, arahan untuk menaikkan kadar premium itu bukanlah dari BNM tetapi oleh pihak atasan syarikat insurans.

“Menaikkan kadar premium insurans tanpa penglibatan dan kata putus dari BNM khususnya boleh menyebabkan sesebuah syarikat insurans itu dikenakan tindakan undang-undang, sekali gus menjejaskan industri insurans di negara ini.

“Kita minta industri lebih beretika dan tidak membelakangi kerajaan dengan naikkan kadar sebagai usaha memonopoli kewangan pengguna.

“Perkara ini tidak patut berlaku dalam negara kita kerana ia memberi kesan besar kepada rakyat. Bincang dulu dengan kerajaan, jangan uar-uarkan perkara yang belum pasti dan sudah tentu hanya menguntungkan pihak tertentu,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia.

Semalam, akhbar melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BNM sedang memuktamadkan perkara itu selepas perbinca­ngan bagi menetapkan kenaikan premium itu dirunding semula.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying memaklumkan, Kementerian Kewangan dalam proses rundingan dengan pihak berkaitan berhubung kenaikan premium insurans perubatan antara 40 dan 70 peratus pada tahun depan.

Hui Ying dilaporkan berkata, BNM masih berunding bagi mengatasi isu berkenaan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, sebarang kenaikan premium insurans perlu melalui perbincangan telus dengan kementerian berkaitan sebagai sebahagian daripada Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, jika isu itu berlanjutan, ramai pengguna berpendapatan sederhana dan rendah akan beralih ke hospital kerajaan dan membebankan ekosistem kesihatan yang sudah kekurangan dana dan kakita­ngan melainkan ada intervensi daripada BNM atau kerajaan.

“Bagaimana sebuah orga­nisasi boleh mengeluarkan kenyataan drastik yang memberi impak besar kepada pengguna, sehingga menimbulkan kecaman dan kemarahan rakyat sebagai pengguna?

“Sudah tiba masa juga kerajaan meneliti akta berkenaan kos dan undang-undang melibatkan hospital swasta. Kita ada undang-undang Private Health Care Facilities and Services Act yang boleh dirujuk,” katanya.

Mengulas lanjut, Jacob berkata, kerajaan mungkin boleh menghentikan pemberian lesen baharu kepada syarikat insurans sehingga langkah pembaikan dilaksanakan bagi melindungi pengguna.

Menurutnya, kenaikan premium tanpa justifikasi yang kukuh membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Sektor kesihatan perlu fokus kepada kebajikan pengguna, bukan kejar keuntungan sehingga menindas rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN