Pemain sudah berikan segalanya- Pau Marti

Pemain sudah berikan segalanya- Pau Marti

Reaksi kecewa Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dan barisan pemain negara selepa gagal ke separuh akhir Piala ASEAN 2024. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ternoktahnya perjalanan Harimau Malaya di Piala ASEAN 2024 juga menyaksikan tugasan Pau Marti Vicente sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan berakhir.

Harapan mara ke separuh akhir kejohanan berprestij Asia Tenggara itu berkecai selepas Harimau Malaya sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN 2024.

Keputusan itu menyaksikan Singapura dan Thailand mewakili Kumpulan A mara ke separuh akhir.

Disebalik kegagalan itu, aksi yang ditampilkan skuad negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin harus dipuji apabila menguasai permainan namun sentuhan penyudah membuat mereka kecewa di tangan Singapura.

Bagi Pau Marti, pelbagai kenangan manis dan pencapaian yang membanggakan dikecapinya sepanjang bersama skuad Harimau Malaya.

Beliau meluahkan rasa syukur atas pengalaman berharga sepanjang bersama skuad kebangsaan selama dua tahun.

“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan pengalaman ini. Berpindah ke negara lain bersama keluarga adalah satu langkah besar tetapi kami menemui rakan-rakan dan hubungan yang akan diingati selamanya. Saya sangat menghargai peluang bekerja dengan pemain Malaysia.

“Kadangkala kita menang, kadangkala kita kalah, tetapi yang paling penting adalah hubungan dan rasa hormat antara pemain dan jurulatih,”katanya.

Pengendali dari Sepanyol itu, turut memuji potensi besar pemain Malaysia dan menyeru agar mereka terus mencabar diri untuk mencapai kejayaan lebih besar.

“Pemain Malaysia mempunyai potensi besar. Pastikan mereka terus bekerja keras dan mencapai standard yang boleh kita capai.

“Legasi pasukan ini harus terus berkembang. Kami berjaya melayakkan diri ke Piala Asia selepas sekian lama, dan ini adalah pencapaian yang akan diingati,” jelasnya yang dilantik sebagai penolong jurulatih pada Januari 2022.

Dalam masa sama, Pau Marti turut memuji sokongan tidak berbelah bahagi diberikan oleh peminat bola sepak tanah air terhadap pasukan kebangsaan.

“Melihat lebih 30,000 penyokong di stadium, walaupun kami tidak layak ke peringkat seterusnya, adalah ganjaran terbesar untuk kami. Sokongan mereka tiada tandingan,” ujarnya.

Dengan berakhirnya era Pau Marti, fokus kini terarah kepada jurulatih baharu, Peter Cklamovski yang akan membawa Harimau Malaya ke tahap seterusnya dalam bola sepak antarabangsa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN