Mural aset pikat pelancong

Mural aset pikat pelancong

MURAL pada sebuah batu yang sememangnya berbentuk seperti seekor penyu, menjadi tarikan terbaharu kepada pelancung untuk datang ke Pantai Pelindung, di Beserah, Kuantan.-UTUSAN/SHAIK AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lukisan dinding atau mural bukan sahaja mencetuskan fenomena semakin berkembang di Malaysia dan seluruh dunia malah bernilai tinggi sehingga mencecah RM200,000 bergantung saiz.

Di Malaysia termasuk di Pahang, boleh dikatakan hampir di setiap pelosok kawasan terpapar hasil seni mural diolah unik dan penuh kreativiti oleh mereka yang dikurniakan bakat dalam seni itu bagi menarik minat orang ramai melihatnya.

Pensyarah Seni Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam Selangor, Ts. Kamal Mohd. Idris berkata, mural adalah salah satu kategori pekerjaan yang berasaskan penawaran servis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang juga pelukis mural di bawah kumpulan yang menggelarkan diri mereka Project Zero Six berkata, nilai harga mural diukur daripada kebolehan seseorang, pengalaman dan teknik digunakan.

“Anggaran nilai mural bergantung kepada panjang dan dikira berdasarkan ukuran kaki persegi yang mana dianggarkan sekitar RM10 hingga RM40 untuk satu kaki persegi bergantung reka bentuk dan penggunaan alatan untuk melukis.

“Jika perlu menggunakan jentera skylift, ia memerlukan kos yang tinggi. Paling tinggi kos pernah Project Zero Six ambil ialah projek melukis mural di Kuantan Art Street fasa satu iaitu berjumlah RM140,000.

“Ia (mural) memang bernilai tinggi dan orang sanggup bayar mahal. Paling mahal saya pernah dengar berjumlah RM200,000. Paling sikit RM2,000 di ruangan dinding mungkin restoran atau persendirian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

MURAL MERUPAKAN SATU KERJAYA

Beliau yang juga pengasas Wall2u berkata, melukis mural boleh diangkat sebagai salah satu kerjaya yang serius dan beragensi yang mana ia kini sudah mula diterima di sesetengah universiti untuk menempatkan penuntut mereka menjalani praktikal.

“Para pendidik sendiri sudah iktiraf kerjaya mural ini dikira sebagai suatu kerjaya. Ini semua satu benda yang positif untuk industri mural. Kita semua mengharapkan ia boleh pergi lagi jauh.

“Untuk pergi lagi jauh perlu melibatkan mural-mural yang ada teknologi. Seperti menggabungkan teknik tiga dimensi (3D). Saya punya projek mural terbaharu juga telah menggabungkan teknik AR yang mana apabila kita imbas mural, gambar akan bergerak dengan sendirinya. Jadi ia adalah interaktif.

“Mural ini walaupun ia adalah perbuatan yang manual, tapi boleh seiring dengan teknologi semasa contohnya, mungkin sesetengah mural itu berasaskan filter (penapisan) atau berasaskan light maping (pemetaan cahaya),” katanya.

Menyentuh tentang impak yang diberikan sesuatu mural di sesuatu tempat, Kamal berkata, ia mampu menaikkan imejnya yang sebelum ini kurang dikunjungi menjadi tular sehingga menjadi poin pin dalam Google Map.

“Ia (mural) di lihat mampu memberi peluang atau cara untuk pelancongan mencipta aktiviti di sesebuah tempat dan selain boleh menularkan apa-apa atau mempromosikan kedai, premis mahupun sekolah.

“Mural ini boleh menyampaikan, merekodkan, mempromosikan, menceriakan dan menyampaikan ‘mood’ seperti mengenang orang lama dan pahlawan, sedih, bangga, atau jati diri melalui mural,” ujarnya yang memaklumkan lukisan ini mampu bertahan lama sehingga lebih tujuh tahun bergantung kepada jenis cat digunakan.

Menurut Kamal, seni mural kini mula diterima untuk menjadi sebahagian perancangan pelancongan sehingga setiap negeri pasti akan menyediakan peruntukan bagi lukisan mural itu sendiri.

Bagaimanapun beliau berkata, penggiat seni mural haruslah bersikap terbuka dan menerima segala bentuk pandangan dan perkongsian pendapat netizen.

“Kita kini berada dalam dunia tanpa batas. Setiap orang boleh komen, boleh kongsi pendapat. Jadi kita harus bersikap terbuka dan tidak terlalu berpaksikan media sosial.

“Ia bagus sebenarnya supaya seni kita itu sentiasa segar kerana ada maklum balas, kalau tidak ada maklum balas kita pun tidak tahu kita punya mural itu macam mana penerimaannya atau macam mana tahap benda itu berlaku,” katanya .

MURAL PENYU CURI PERHATIAN

Mural penyu di Pantai Tanjung Pelindung di Kuantan adalah salah satu mural di negeri ini yang mencipta fenomena apabila ia menjadi tular dan mencuri tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Penyu terbabit cetusan idea bersama Pengarah Tanah dan Galian Pahang, Datuk Hamdan Hussin dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim serta diolah oleh empat belia anak Pahang yang menggelarkan diri mereka Project Zero Six iaitu Nik Amir Farouk, 34; Azri Azahar, 35; Ikmal manan, 29, dan Kamal sendiri.

Nik Amir berkata, projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Tourism Pahang dengan peruntukan sebanyak RM30,000.

“Mural ini sepatutnya boleh bertahan antara lima hingga tujuh tahun. Tapi bagi saya lagi lama ia bertahan, makin lusuh dan makin cantik dan nampak semula jadi,” katanya.

Dia tidak menyangka mural penyu terbabit tular sehingga menarik ramai pengunjung ke Pantai Tanjung Pelindung yang sebelum ini kurang mendapat tumpuan ramai.

“Tidak sangka ia tular sebegini. Ada yang datang semata-mata untuk mencari penyu. Sebelum ini tidak ada orang” katanya yang memaklumkan mengambil masa selama lima hari untuk menyiapkan mural tersebut.

MURAL TARIK PELANCONGAN DOMESTIK, LUAR NEGARA, JANA EKONOMI

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, mural yang terdapat di negeri ini dapat membantu mempromosikan pelancongan Pahang.

Katanya, mural juga dilihat dapat membuka peluang kepada pelancongan khususnya pelancong luar sampai ke Kuantan, berikutan adanya tarikan baharu.

“Jadi kita dapat menarik kepada pelancong untuk kembali semula ke sesuatu tempat sebab ada tarikan baharu atau potensi baharu,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini