Menyamar kakitangan tetap IKN, bekas pegawai khidmat pelanggan didenda RM5,000

Menyamar kakitangan tetap IKN, bekas pegawai khidmat pelanggan didenda RM5,000

SEORANG bekas pegawai khidmat pelanggan di IKN didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai khidmat pelanggan di Institut Kanser Negara (IKN) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai kakitangan tetap di institut berkenaan dengan memalsukan kad pekerja, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Hafizullah Mat Zahid, 32, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Hafizullah didakwa menipu seorang pembantu keselamatan kanan dengan menyamar supaya lelaki itu percaya dia adalah kakitangan tetap di IKN dan mendorong lelaki itu untuk membenarkan tertuduh memasuki kawasan IKN sebagai kakitangan tetap.

Kesalahan itu dilakukan di IKN, Jalan P7, Presint 7 di sini, kira-kira pukul 2 petang pada 27 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah dilantik sebagai pegawai khidmat pelanggan di bawah program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) dan ditempatkan di bahagian Perhubungan Awam IKN pada 26 Jun lalu.

Sepanjang bertugas, tertuduh telah dilihat beberapa kali memakai kad pengenalan jabatan berwarna biru yang digantung di leher menggunakan ‘lanyard’ Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, pada 27 November lalu, pengadu menerima aduan bahawa terdapat seorang kakitangan kontrak MySTEP iaitu tertuduh telah menggunakan kad pengenalan jabatan yang dipercayai palsu.

Pengadu kemudiannya telah memanggil tertuduh untuk siasatan dalaman dan menemui satu kad pengenalan jabatan berwarna biru yang telah dipalsukan dan dipercayai digunakan oleh tertuduh sehingga menyebabkan kekeliruan terhadap kakitangan IKN.

Hasil siasatan mendapati bahawa tertuduh telah memalsukan kad pengenalan jabatan dengan mencetak sendiri kad tersebut untuk menyamar sebagai kakitangan tetap IKN dan pengadu mengesahkan tidak pernah mengeluarkan kad tersebut. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN