Jumlah Tanah Rizab Melayu susut 21,212 hektar

Jumlah Tanah Rizab Melayu susut 21,212 hektar

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu di 10 negeri menunjukkan penurunan 21,212.48 hektar berbanding 4,977,083.37 hektar yang dilaporkan pada 10 Julai lalu.

Baki tanah rizab di 10 negeri dan wilayah adalah sebanyak 4,955,870.89 hektar setakat 30 Jun lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah itu tidak melibatkan Pulau Pinang dan Melaka berikutan kedua-dua negeri tersebut tidak mempu­nyai Enakmen Rizab Melayu.

“Kementerian ini, melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), bertanggungjawab untuk mengumpul maklumat berkaitan keluasan Tanah Rizab Melayu daripada setiap Pihak Berkuasa Negeri.

“Pengumpulan data ini dilaksanakan berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-69 yang diadakan pada tahun 2013. Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pihak Berkuasa

Negeri sehingga 30 Jun 2024, jumlah keluasan ke­seluruhan Tanah Rizab Melayu adalah sebanyak 4,955,870.89 hektar.

“Jumlah ini tidak termasuk negeri Pulau Pinang dan Melaka memandangkan kedua-dua negeri tersebut tidak mempu­nyai Enakmen Rizab Melayu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Zak­ri Hassan (PN-Kangar) yang memintanya menyatakan pe­cahan terkini keluasan kawasan Tanah Rizab Melayu (TRM) mengikut negeri sehingga kini.

Berdasarkan pecahan keluasan Tanah Rizab Melayu mengikut negeri, Kelantan mencatat keluasan tertinggi dengan jumlah 1,361,114.00 hektar, diikuti Perak (953,391.38 hektar), Kedah (809,142.22 hektar), Johor (561,802.60 hektar) dan Pahang (444,074.90 hektar).

Ia dituruti Terengganu de­ngan pecahan TRM (2,378.89 hektar) dan Tanah Pegangan Melayu (401,129.00 hektar) menjadikan keseluruhan bagi negeri itu adalah 403,507.89 hektar.

Negeri Sembilan pula menca­tatkan keluasan 223,550.43 hektar, disusuli Selangor (164,743.89 hektar), Perlis (33,540.02 hektar) dan Kuala Lumpur (1,003.56 hektar).

Dua objektif utama mengapa TRM diperkenalkan adalah menyekat tanah kerajaan di kawalan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa juga cara kepada bukan Melayu.

Kedua, bagi menyekat ta­nah pegangan Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian antara Melayu dan bukan Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN