‘Jika harga naik, tiada orang beli pun rugi juga’

‘Jika harga naik, tiada orang beli pun rugi juga’

Kenaikan harga barang ketika ini hanya akan membebankan orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan pengguna mengingatkan pemain industri perniagaan supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan atau perkhidmatan ekoran kos hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menyatakan, kenaikan harga hanya akan menekan pengguna, terutamanya menjelang hujung tahun dan musim perayaan.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, golongan peniaga perlu beringat sebelum menaikkan harga sesuatu barangan atau perkhidmatan kerana jika kuasa beli orang ramai semakin menurun, maka mereka pun tidak akan mendapat keuntungan yang diingini.

“Jika harga naik, tetapi tiada orang beli pun rugi juga. Jadi, lebih elok teliti kuasa beli pengguna dan pergerakan dalam pasaran sebelum menaikkan harga. Kos hidup yang semakin meningkat ketika ini boleh mendorong orang buat apa sahaja, termasuk berjimat cermat secara ekstrem.

“Sehubungan itu, semua pihak termasuk kerajaan dan sektor perniagaan perlu mencari penyelesaian yang seimbang dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memberi amaran akan bertindak terhadap persatuan perniagaan yang mengumumkan jangkaan kenaikan harga secara terbuka.

Selain itu, Jacob menyatakan kerajaan perlu memperjuangkan prinsip persaingan sihat serta memastikan kenaikan harga hanya berlaku dengan alasan kukuh.

Katanya, undang-undang seperti Akta Persaingan serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan perlu digunakan sepenuhnya untuk melindungi pengguna daripada eksploitasi.

“Kenaikan harga bukan hanya melibatkan perniagaan swasta, tetapi turut melibatkan perkhidmatan kerajaan seperti cukai pintu, tarif air, dan tenaga.

“Sebagai contoh, Kerajaan negeri Selangor baru-baru ini mengumumkan kenaikan cukai pintu sebanyak 25 peratus, ia satu kadar yang terlalu tinggi dan membebankan rakyat.

“Agensi kerajaan perlu turun padang dan berbincang dengan pihak berkepentingan, bukannya hanya bergantung kepada maklum balas dalaman. Jika kita tidak menangani isu ini dengan tegas, rakyat akan terus terbeban,” ujarnya.

Turut senada, Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin yang menekankan keperluan penguatkuasaan yang lebih tegas di bawah Akta Anti Pencatutan Harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurutnya, peniaga tidak boleh menaikkan harga sesuka hati kerana undang-undang sedia ada membolehkan kegiatan mereka disiasat.

“Pihak KPDN perlu melaksanakan pemantauan pasaran dengan lebih kerap untuk memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa justifikasi.

“Selain itu, pengguna juga perlu diperkasakan dengan maklumat dan saluran aduan yang betul supaya mereka tahu cara menangani isu ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN