CGM bina 18 kelas sementara di Gaza

CGM bina 18 kelas sementara di Gaza

Kanak-kanak Palestin mencari sisa-sisa makanan di dalam tong sampah di Deir el-Balah, tengah Gaza semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perang yang tidak berkesudahan di Palestin mengakibatkan kira-kira 625,000 kanak-kanak di Gaza dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan sehingga hari ini.

Bimbang akan masa depan Gaza terus kelam disebabkan ketiadaan pendidikan formal dapat diberikan kepada kanak-kanak di wilayah itu, Cinta Gaza Malaysia (CGM) tampil menggalas tanggungjawab dengan menyediakan peruntukan seba­nyak RM850,700.

Peruntukan itu disediakan bagi membina 10 buah kelas sementara, lima tandas, bilik guru, ruang makan, kawasan hijau dan tapak perhimpunan di Al-Mawasi, Khan Younis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Eksekutif Kanan Program (Antarabangsa) CGM, Muhamad Amirul Syafik Radzuan berkata, projek terbaharu itu menjadikan keseluruhan kelas yang sudah dibina CGM sebanyak 18 di utara, tengah dan selatan Gaza.

Katanya, premis pendidikan itu menempatkan seramai 2,200 pelajar sekolah rendah pada suatu masa untuk memberikan mereka kesempatan tidak ke­tinggalan mendapatkan pendidikan.

“Melalui projek ini, ia membolehkan pelajar sekolah rendah untuk meneruskan pendidikan walaupun bukan secara formal seperti di sekolah.

“Pelajar akan mengikuti kelas yang disusun mengikut sesi dan membolehkan 2,200 pelajar mengikuti sesi pembelajaran.

“Selain itu bantuan psikososial turut dilaksanakan bagi membantu pelajar untuk pulih daripada trauma yang dialami akibat peperangan di tanah air mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhamad Amirul Syafik berkata, sebelum ini, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) bertanggungjawab memberi dana pendidikan kepada 183 sekolah di Gaza membabitkan 278,000 pelajar.

Bagaimanapun, katanya, agen­si itu sudah pun menghen­tikan pendanaannya dan diserah kepada Ketua Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Walaupun begitu, sehingga kini, UNICEF belum lagi diputuskan sama ada pihaknya akan bertanggungjawab sepenuhnya pendidikan di Gaza atau hanya sewaktu perang sahaja untuk menggerakkan sekolah sementara.

“Menteri Pendidikan di Gaza telah menyatakan situasi pendidikan di Gaza amat buruk pada waktu ini dan menyeru badan bukan kerajaan untuk memberi bantuan dalam aspek pendidikan.

“Oleh demikian, CGM terpanggil untuk menggalas tanggungjawab ini dengan memberikan sumbangan supaya masa depan kanak-kanak di Gaza tidak terus suram tanpa pendidikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini